BERITA UTAMA

UM 8 dan UIA 1: Jalan Terus!

Tahun 2014 adalah permulaan baru perjuangan mahasiswa. 2014 bukanlah pengakhiran kepada sosok tubuh pejuang bergelar mahasiswa. Pejuang yang tidak dibayar mahupun dibelai, pejuang yang sentiasa ke hadapan untuk menyuarakan suara benak rakan mahasiswa yang lain.

Mereka tidak angkuh untuk membawa suara masyarakat setempat kerana mereka sedar peranan mereka sebagai penggerak keilmuan dalam kalangan masyarakat.

Hukuman dan Makna Universiti

Rentetan dari apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM 8) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA 1), kami sangat bersimpati dengan rakan seperjuangan kami yang membayar nilai pengorbanan ini dengan korban penggantungan semester, denda beratus-ratus ringgit dan amaran keras dari pihak universiti.

Mahasiswa UMApa yang berlaku kepada Fahmi Zainol (UM, digantung dua semester dan didenda RM 600), Safwan Shamsuddin (UM, digantung satu semester dan didenda RM 300), Muhammad Mujahid (UIA, digantung satu semester dan amaran keras) dan 6 mahasiswa UM yang lain merupakan satu lagi tragedi kepada pendidikan, demokrasi dan kebebasan akademik di Malaysia.

Kami cukup terkilan dengan tindakan pihak universiti yang cuba mengongkong suara keramat mahasiswa dengan menutup ruang-ruang kebebasan yang sepatutnya diberikan kepada mahasiswa.

Memetik kata-kata Prof Stefen Collini yang merupakan tokoh di Universiti Cambridge didalam bukunya “What Are Universities For”, beliau menyatakan bahawa universiti seharusnya menjadi satu ruang inkuiri bebas yang sentiasa dilindungi daripada campur tangan kuasa luar.

Bahkan, Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, dalam kes Sweezy vs New Hampshire 354 US 234 (1957), mengatakan:

“Scholarship cannot flourish in an atmosphere of suspicion and distrust. Teachers and students must always remain free to inquire, to study, and to evaluate, to gain new maturity and understanding; otherwise our civilization will stagnate and die.”

Universiti seharusnya menjadi wadah percambahan generasi reformis dan pemikir, bukannya institusi melatih robot. Inilah seharusnya menjadi makna sebenar institusi keilmuan yang digelar universiti.

Jalan Terus!

Kami yakin dan percaya, hukuman ini langsung tidak akan mematahkan semangat 9 orang rakan mahasiswa ini untuk terus melangkah ke hadapan. Kualiti kepimpinan dan semangat pejuang itu tidak wujud di dalam diri seseorang dalam sekelip mata.

Keberanian merupakan akhlak mereka, yang tidak mampu dicari ganti, seperti mana yang dinukilkan oleh Pramoedya Ananta Toer: “Dalam hidup kita ini, cuma satu yang kita punya, iaitu keberanian. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?”

Sejarah telah membuktikan bahawa ramai tokoh dan pemimpin negara pada hari ini sangat berani dan progresif dalam memperjuangkan isu mahasiswa dan masyarakat suatu ketika dahulu.

Sepanjang lipatan sejarah, kongkongan dan hukuman sebegini sama sekali tidak akan mematahkan semangat pejuang. Tokoh anti-aparteid dunia, Nelson Mandela sendiri pernah meringkuk di dalam penjara selama 27 tahun.

Tempoh ‘istirahat’ selama hampir 3 dekad ini langsung tidak merubah pendirian beliau. Bahkan perjuangan membebaskan Afrika Selatan dari belenggu aparteid digerakkan dari dalam Penjara Robben Island dan Penjara Pollsmoor.

Keberadaan beliau di dalam penjara telah merubah personaliti beliau menjadi lebih kuat dan matang, lalu diangkat rakyat sebagai Presiden Afrika Selatan yang pertama dipilih melalui sistem demokrasi yang telus.

Khatimah

Inilah juga hakikatnya bagi 9 rakan mahasiswa yang berani terjun dan berpencak dalam medan ini. Kami yakin, hukuman ini tidak akan sama sekali mematahkan semangat mereka, bahkan akan terus membakar api semangat perjuangan. Buat rakan-rakan mahasiwa pemberani, kita sama sekali tidak akan pernah berubah arah, dan akan sentiasa bersama-sama perjuangan ini.
Perjuangan ini mesti terus. Demi Malaysia yang lebih gemilang, mahasiswa terus melangkah!

Hanif Mahpa dan Azzan Aznan
Mahasiswa UIAM

 


Pengarang :