SELANGOR

2 pelumba orang asal diangkat jadi ikon belia

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 26 JAN: Bakat dua pelumba muda orang asal dari Team OA Racing akan diketengah secara meluas dan bakal diangkat sebagai ikon bagi golongan berkenaan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, usaha itu juga diambil bagi memastikan kedudukan orang asal sebaris dengan masyarakat lain di Selangor.

10487594_10152978474499351_8856023779091463102_n“Kami dalam usaha mengatur program bertemu masyarakat orang asal khususnya dalam pencarian ikon belia dalam kalangan mereka yang datang dari pelbagai bidang untuk diketengahkan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau juga menjangkakan program berkenaan akan dijalankan pada pertengahan tahun ini.

Abdul Affendi Hadi, 18, dan Aizil Azri Hadi,13, adalah belia orang asal dari Kampung Bukit Tadom, Banting yang berjaya mencatatkan empat kemenangan podium pada Malaysia Cub Prix tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka gagal mendapatkan penajaan daripada beberapa syarikat permotoran terkenal walaupun pelbagai cara sudah dicuba.

amirAmirudin berkata, pihaknya akan membantu kedua-dua pelumba itu mendapatkan penajaan bagi memastikan bakat mereka tidak terkubur.

“Saya bersedia bertemu dua pelumba ini bagi mengenalpasti bagaimana Kerajaan negeri dapat membantu khususnya dalam mendapatkan penajaan.

“Saya berbangga dengan kejayaan mereka dan Selangor sentiasa bertuah kerana memiliki ramai bakat muda yang berpotensi besar untuk diketengahkan dalam pelbagai bidang,” katanya.

-NFN-


Pengarang :