Selangorkini
SELANGOR

200 penduduk & PKNS gotong royong banteras nyamuk Aedes

Oleh: LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 11 JAN: Lebih 200 penduduk Bernam Jaya di sini hari ini menyertai aktiviti gotong-royong mencegah dan menghapus nyamuk Aedes.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Md Yusof Md Darus, 62, berkata inisiatif itu diambil sebagai aktiviti pembuka bagi 2015 yang menekankan aspek penjagaan kebersihan persekitaran.

DENGGI GRAFIKKatanya, gotong-royong juga dianjur bagi memberi kesedaran kepada penduduk setempat akan bahaya Aedes.

“Walaupun masih tiada lagi kes demam denggi dilaporkan, namun kita mengambil pendekatan mencegah lebih baik daripada merawat.

“Kita juga mahu merapatkan silaturrahim antara persatuan penduduk dengan penduduk serta pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang membangunkan kawasan ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Selain PKNS, aktiviti yang bermula seawal 8 pagi itu turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Hulu Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Pada masa sama, Kontroler Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Azmi Adnan berkata pihaknya sentiasa menyokong penganjuran program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bukan sahaja di kawasan Bernam Jaya, kita juga memberi sokongan kepada program lain seperti di Antara Gapi, Kota Puteri, Taman Sains 2 dan sebagainya.

“PKNS akan sentiasa memberi komitmen dan sokongan terhadap mana-mana program untuk kesejahteraan penduduk khususnya di Bernam Jaya hari ini,” katanya.

EZY


Pengarang :