Selangorkini
NASIONAL

ABIM pantau dakwaan China halang azan di Xinjiang

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sedang memantau perkembangan sekatan azan yang didakwa dilakukan Kerajaan China terhadap masyarakat Islam Uyghur di wilayah barat Xinjiang.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim berkata, beliau sedang cuba mendapatkan maklumat daripada rakannya di wilayah berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi.

article-51ef83c1-186d-41ac-bdf4-1b1d0b1e9ab5-6Ujvv0aOMHSK2-107_634x404“Kita sedang memantau dan cuba menghubungi rakan-rakan di sana untuk mendapatkan gambaran sebenar.

“Terdapat satu lagi laporan lain mengenai dakwaan berkenaan dan buat masa ini kita tidak mahu buat sebarang kenyataan dikhuatiri tidak tepat nanti,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya, perkembangan lanjut akan dimaklumkan segera sejurus mendapat maklumat rasmi dari wilayah barat Xinjiang.

Sebelum ini, masyarakat Islam Uyghur di wilayah berkenaan menjadi mangsa penindasan Kerajaan China dengan pelbagai sekatan termasuk pemakaian burqa bagi wanita Islam serta memenjarakan hampir 22 pemimpin agama.

Pada 1 Syawal lalu, hampir 100 orang terkorban dalam satu pertempuran dalam usaha kerajaan republik negara itu menghapuskan identiti Turkistan.

EZY


Pengarang :