Selangorkini
NASIONAL

Arahan kosong tempat pemindahan dedah mangsa kepada risiko

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa arahan mengosongkan tempat-tempat pemindahan sementara ditangguhkan serta merta sehingga penempatan semula mangsa banjir diselesaikan.

Presiden ABIM, Amidi Abd Manan berkata tinjauan di lapangan oleh OPS Skuad Prihatin ABIM mendapati terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

“Beberapa buah keluarga yang ditemui di Manik Urai mengadu mereka tiada tempat untuk dituju bagi mendapatkan perlindungan apabila arahan pengosongan tempat pemindahan sementara dikeluarkan.

“Terdapat beberapa keluarga yang mula membina khemah-khemah kecil bagi menempatkan barangan keperluan keluarga masing-masing. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak dan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan.

ABIM juga menggesa satu pelan tindakan diumumkan oleh kerajaan negeri dengan kadar segera bagi memulihkan penempatan semula mangsa banjir.

Katanya, kelewatan berbuat demikian akan menyebabkan gangguan perancangan masa depan keluarga yang terbabit.

“Keadaan ini diburukkan lagi apabila masih tiada tindakan yang berkesan diambil untuk mengurangkan sampah sarap di kawasan yang teruk dilanda banjir seperti di daerah Kuala Krai dan Gua Musang.

“Situasi ini boleh mengakibatkan penularan penyakit berjangkit yang mampu mengancam nyawa,” katanya.

Memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi, ABIM turut menggesa kementerian terlibat mengambil langkah proaktif mengatasi masalah yang ada bagi memastikan sesi persekolahan akan datang dapat dijalankan dengan lancar.

“Sepanjang pengamatan kami, banyak sekolah di kawasan bencana yang belum dibersihkan. Dalam masa yang sama juga ramai guru turut menjadi sebahagian daripada mangsa banjir,” katanya.


Pengarang :