Selangorkini
SELANGOR

Azmin yakin Anwar dibebaskan, seru tamatkan ‘politik longkang’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JAN: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tuduhan kes ‘fitnah liwat 2’ pada 10 Februari nanti.

Mohamed Azmin berkata, keyakinan beliau itu dibuat berdasarkan bukti dan keterangan dikemukakan dalam mahkamah jelas menunjukkan Ketua Pembangkang itu difitnah.

Anwar“Pendirian Pakatan Rakyat (PR) jelas bahawa berdasarkan bukti dan keterangan dikemukakan dalam mahkamah kita cukup yakin bahawa beliau akan dibebaskan daripada fitnah jijik ini,” kata Mohamed Azmin selepas melancarkan Program Lambaian Kaabah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Jelas beliau masyarakat dan ahli politik negara ini perlu mula bersatu dengan mengelakkan politik kotor bagi memastikan negara terus maju ke hadapan.

“Fitnah politik kotor dan jijik yang dimulakan Tun Dr Mahathir dari 1998 mesti dihentikan kalau mahu negara ini maju ke hadapan.

“Hentikan politik longkang, hentikan fitnah, hentikan perpecahan tetapi marilah kita bersatu untuk memajukan rakyat untuk kita bersatu menghadapi ekonomi yang cukup getir pada 2015 ini,” kata beliau lagi.

Twitter Jabatan Kehakiman hari ini mengumumkan kes ‘Fitnah 2′ yang melibatkan Anwar akan diumumkan pada 10 Februari (Selasa) jam 9.00 pagi.

Keputusan rayuan kes yang melibatkan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan itu akan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

EZY


Pengarang :