Selangorkini
SELANGOR

Bantuan banjir: Empat faktor jadikan Selangor negeri contoh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JAN: Empat faktor utama pengurusan menjadikan Selangor negeri contoh dalam misi bantuan pasca banjir, kata Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei.

Pertama, kata Adun Sri Muda itu, ialah kepantasan menghulur bantuan ke kawasan bencana dengan menjadikan kawasan paling kritikal sebagai keutamaan.

“Kedua, kita bekerjasama lebih erat, teratur dengan jadual tersusun sebagai panduan semua agensi, persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) dengan diketuai satu pihak sahaja.

“Bantuan dari mana sekalipun, kita serahkan kepada satu pihak untuk turun ke kawasan bencana dengan diselaras di peringkat negeri sebelum turun ke negeri terlibat.

“Soal pengkhususan tugasan sangat penting supaya proses mengumpul dana, peralatan dan bantuan lain disalur lebih efektif.

“Ini menjadikan misi bantuan lebih teratur, lebih bersepadu dan tiada arahan bertindih,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau antara pimpinan Selangor yang menguruskan bantuan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bersama-sama Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.

Ketiga, Shuhaimi berkata, Selangor memiliki maklumat terperinci mengenai kawasan yang memerlukan lebih bantuan supaya keutamaan diberi kepada yang paling kritikal.

“Keempat, apabila menghadapi musibah, kita perlu menolak fahaman politik. Faktor kemanusiaan harus diletak paling atas tanpa memikirkan soal publisiti dan kepentingan politik,” katanya.

– FZL –


Pengarang :