Selangorkini
SENI

Beban puisi dan tanggapannya

Oleh Karl Agan

Membaca artikel ‘Penyair Wanita Dibuai Perasaan’ di Berita Harikh bertarikh 20 Januari lalu, dengan perasaan bercampur-baur, antara setuju dan tidak.

Turut dibaca artikel Norhayati Ab Rahman yang membalas tanggapan Abrak Othman bahawa penyair wanita harus mengangkat hal lebih penting – menegakkan identiti bangsa, warisan bangsa, nilai moral serta perbahasaan dan tidak bertumpu kepada puisi berunsur emosi semata-mata.

Isu itu tidak pernah terpadam dan nyata ada sesuatu tidak kena dalam perkara berkenaan.baca-puisi

Membaca tanggapan Abrak Othman, tertanya-tanya, apakah penyair wanita sudah mencabar tanggapan itu atau sekadar membiar angin lalu dan akhirnya angin sama kembali melanda.

Persoalan lebih penting, bersediakah penyair muda wanita mencabar dakwaan, penulisan puisi mereka hanya berkisar emosi dan perasaan semata-mata?

Jika ya, di mana kita harus bermula?

Kita harus mengakui puisi peribadi seringkali menjadi sajian bukan sahaja di kalangan penyair wanita, malah penyair lelaki.

Apakah gejala itu terhasil daripada tanggapan bahawa puisi peribadi lebih mudah atau ia didefinisi penyair baru sebagai baris-baris kata yang meluahkan emosi secara bertulis?

Andai itulah tanggapannya, nyata usaha memartabat penulisan puisi sia-sia dan pertumbuhannya umpama cendawan tumbuh selepas hujan tetapi tidak boleh dikutip.

Ini bukan waktu menuding jari kerana kegagalan meletakkan puisi di takhtanya kerana kita sendiri membawa puisi keluar dari maknanya sendiri.

Penyair baru harus menyalahkan diri kerana gagal membebaskan beban di bahu puisi serta gagal meneguhkan definisi dan pendiriannya.

Karangan yang dipisahkan baris-barisnya tidak boleh terus dianggap puisi dan luahan perasaan melalui kata-kata yang dihias mahupun berkias tidak menjamin ia sebuah puisi.

Tanggapan betapa puisi peribadi adalah ruangan sempit bercanggah dengan pendirian saya terhadap puisi. Puisi peribadi adalah ruangan tidak terbatas selagi manusia mencari kebenaran dalam setiap hal yang dihadapinya.

Ia sempit kerana penyairnya tidak habis-habis mengisi ruang dengan hal tidak perlu; kerana emosi, gaya dan teknik penulisan sama dan melulu.

Menghubungkan puisi dan pembaca boleh diibarat membina jambatan. Jambatan kayu sesuai untuk laluan yang jarang dilalui kenderaan berat manakala jambatan konkrit untuk lori dan bas.

Ibarat merancang gaya tulisan, tema dan tujuannya secara keseluruhan. Sudah tentu tenaga, tumpuan dan emosi menjadi sebahagian proses.

Apabila siap, pembaca akan memandu mata dan tumpuannya, menentukan sama ada puisi itu boleh dilalui atau tidak. Maka, terlihatlah kecekapan penyair menyediakan jambatan sesuai untuk pembacanya.

Sebagai jurutera puisi yang baik, teknik dan tema harus digaul dengan pilihan kata yang tepat untuk membawa maknanya agar ia kukuh dari segi emosi, pesanan dan tugasnya.

Puisi bukanlah sebuah bakul tempat penyairnya membuang tisu yang penuh dengan air mata dan hingus.

Hanya dengan kesediaan penyair, puisi mampu bebas dari beban yang dialaminya. Soalnya, bersediakah kita melihat puisi pergi lebih jauh dan mencabar tanggapan orang terhadap tubuhnya?

Hanya dengan sikap terbuka penyair mampu mengembalikan puisi ke takhtanya.

Jika penyair nekad berkongsi perasaannya, usah pentingkan diri dalam penyampaian kerana setiap pembaca berdiri dalam kasutnya sendiri dan tidak seorang pun akan mengerti sepenuhnya.

Tugas penyair bukan marah-marah dan membentak kaki kerana dendam pada kenangan melainkan menganjurkan pertanyaan dan kesedaran dalam diri pembaca.

Soal tema sebagai tanda ukur nilai adalah hal remeh kerana sudah tentu penilai itu sudah arif tentang sifat tulisan yang harus diangkat.

Sebagai manusia yang penuh dengan emosi, apakah kita mampu menidakkan puisi yang berupaya menggugurkan air mata dalam diam?

Tentu tidak. Meletakkan tema sebagai tanda ukur nilai bukan sahaja menjejaskan keseimbangan dunia sastera, malah menjauhi manusia dari hal-hal manusiawi dan telus.

Harus diingat, nilai moral pertama dipupuk dengan cinta kedua orang tua. Ia lahir dari rumah dan keluar ke jalanan, seperti seorang anak muda meninggalkan rumah untuk bersekutu dengan dunia yang lebih luas.

Memang mengangkat tema identiti bangsa, warisan bangsa, nilai moral serta isu perbahasaan adalah sifat penting sebuah karya sastera yang baik.

Setelah bebas dari belenggu penjajah, apa yang kita usahakan kalau bukan sekadar bernostalgia, mengulang cerita sama ketika menegur anak-anak muda tentang pentingnya menghargai makna kemerdekaan, budaya dan bangsa?

Melentur buluh biar dari rebungnya namun di era pasca moden, apakah karya dengan pengulangan sama mampu memberi kesan setimpal untuk memperkasa budaya dan bangsa melalui sastera?

Hari ini kita melihat jawapannya dengan terang dan kita mengeluh melihat hasilnya.

Merendahkan puisi peribadi seolah-olah menutup kemungkinan menemukan jalan alternatif bagi menyemai nilai moral dalam budaya dan masyarakat.

Cabaran kita bukan untuk meletakkan puisi ke tempat lebih tinggi kerana puisi memang sudah di tempat yang sangat tinggi. Cabaran sebenar ialah mencari jalan mendaki ke gunung puisi yang tinggi itu.

Cabaran penyair baru wanita ialah mencabar tanggapan betapa puisi peribadi adalah ruang sempit manakala cabaran penyair lelaki pula ialah bersetuju puisi peribadi yang intim dengan kesan emosi yang baik telah pun memecahkan empangan di matanya.

Bersediakan kita menyahut cabaran atau sekadar berpuas hati dengan apa yang sudah ada setakat ini?

Kehadiran penyair muda wanita bukan untuk membasmi dan mengubah suara dunia puisi sedia ada sebaliknya menyediakan suara lebih halus dan tajam dari segi emosi.

Ia sepertimana sebuah koir yang meriah dengan suara bass dan tenor serta alto dan soprano.

Penyair wanita pula tidak harus begitu teguh berpendapat bahawa hanya dengan suara soprano itu dia mampu menawan telinga pendengarnya.

Puisi sebagai lagu yang indah. Sebuah lagu hanya mampu dinyanyi dengan permai melalui paduan suara yang pelbagai.


Pengarang :