Selangorkini
NASIONAL

Bekalan elektrik Kelantan mula pulih

SHAH ALAM, 3 JAN: Lebih 80 peratus pengguna elektrik di Kelantan mula menerima bekalan itu setakat petang semalam, kata
Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, 506 lagi pencawang elektrik belum dipulihkan setakat ini, berbanding 1,017 pada 1 Januari lalu.

LOGO-TNB“Setakat jam 4 petang ini, 46 janakuasa bergerak dengan kapasiti sehingga 1,000 kVA (kilo Volt Ampere) juga sedang dioperasikan di Kelantan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Bernama.

TNB juga, katanya, sedang berusaha untuk memasang beberapa lagi set janakuasa di lokasi yang memerlukannya.

Syarikat pembekal tenaga itu berkata, di Pahang, jumlah pencawang yang belum dipulihkan menurun kepada 239, berbanding 301 semalam, manakala 58 pencawang di Perak masih dihentikan operasi.

TNB mengingatkan mangsa banjir yang kembali ke premis masing-masing supaya menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memeriksa terlebih dulu pendawaian dan peralatan elektrik sebelum digunakan.

Pengguna di Kelantan dan Terengganu boleh menghubungi pejabat ST di talian 09-7487390, Pahang (09-5142803) dan Perak (05-2535413).


Pengarang :