Selangorkini
SELANGOR

Ceroboh hutan simpan, Selangor naikkan denda & tempoh penjara

SHAH ALAM, 14 JAN: Selangor akan meneliti semula undang-undang pencerobohan sedia ada termasuk menaikkan kadar denda dan tempoh penjara seperti yang disarankan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, sasaran bagi mengekalkan hutan simpan di Selangor sudah mencapai 31 peratus sehingga kini seperti yang dilaporkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.

Elizabeth berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri mensasarkan 33 peratus hutan simpan di negeri itu dipulihara daripada diceroboh atau diteroka mana-mana pihak menjelang tahun 2025.

paya_bakau_hutan_wikipedia“Kita akan meneliti semula undang-undang itu bagi memberi lebih kuasa kepada Penguatkuasa Jabatan Perhutanan negeri.

“Kita juga akan menaikkan kadar denda dan tempoh penjara dalam usaha mencapai matlamat itu,” katanya memetik sebuah portal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Mohamed Azmin yang memberi jaminan bahawa ekosistem terutama hutan simpan di negeri itu kekal daripada diceroboh pada kadar 30 peratus.

Mohamed Azmin turut mengarahkan Penasihat Undang-Undang Selangor supaya memperketat klausa perundangan sedia ada supaya tindakan yang lebih keras dapat diambil terhadap mereka yang menceroboh hutan dan tanah milik kerajaan di negeri itu dalam usaha mengelak bencana alam.

Elizabeth Wong Komen Khaled NordinMengulas lanjut isu banjir di negeri itu, Elizabelth berkata, banjir yang berlaku di kebanyakan kawasan bukan disebabkan penebangan hutan, sebaliknya berpunca daripada jumlah air hujan yang turun terlalu intensif serta lebat.

Katanya, keadaan itu sekali gus menyebabkan sistem saliran dan perparitan sedia ada gagal menampung jumlah air yang banyak.

“Akibatnya, air melimpah ke kawasan kediaman penduduk dan kawasan lain hingga berlakunya banjir kilat,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin berkata, satu jawatankuasa akan dibentuk bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pembangunan bagi mengelakkan bencana banjir berlaku termasuk berhati-hati dalam memberi kelulusan pembangunan.


Pengarang :