Selangorkini
SELANGOR

Gunakan bahan mesra alam elak pencemaran

Oleh : AFEEQA AFEERA

SELAYANG, 30 JAN : Penguatkuasakan penggunaan bahan mesra alam dan boleh dikitar semula dilaksanakan khususnya semasa musim perayaan Thaipusam yang akan menerima kunjungan orang ramai dari seluruh negara.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata meskipun budaya kitar semula masih cuba dipupuk di kalangan masyarakat, namun pelaksanaan secara menyeluruh perlu dilaksanakan dalam waktu terdekat.

kitar semula2Katanya ia selaras dengan hasrat menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri hijau dan mesra alam yang peka terhadap kepentingan alam sekitar.

“Kita menggalakkan semua persatuan dan peserta yang terlibat semasa sambutan perayaan itu nanti menggunakan pinggan atau mangkuk dikitar semula atau bahan berasaskan organik sebagai lapik makanan.

“Walaupun tahun ini kita masih ditahap menggalak, tetapi tidak lama lagi saya harap ia akan menjadi satu syarat yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kita akan laksanakan secara berperingkat yang akhirnya perayaan besar di Batu Caves ini tidak lagi perlu menggunakan bahan berasaskan plastik,” katanya semasa merasmikan Kempen Clean and Green, di sini.

Sementara itu, Elizabeth berkata Kerajaan Negeri melalui stanco hal ehwal pengguna akan menyertai program pemberian plastik biodegradable (organik) kepada Persatuan Hindu Sanggam sebagai sokongan kepada kempen hijau dan mesra alam yang dilaksanakan.

Katanya sebanyak 50,000 bekas makanan yang diperbuat daripada bahan organik akan digunapakai semasa perayaan itu bagi tujuan pengedaran makanan secara percuma kepada pengunjung yang hadir.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan program kitar semula khasnya botol air yang pastinya akan dibuang begitu sahaja oleh pengunjung.

“Kita jangkakan ratusan ribu botol air dapat dikutip sepanjang perayaan itu berlangsung untuk dikitar semula bagi menyelamatkan alam sekitar,” katanya.

EZY


Pengarang :