Selangorkini
SELANGOR

Harga sayuran naik mendadak, FOMCA saran pemantauan menyeluruh

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 12 JAN : Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan supaya pihak kerajaan menjalankan pemantauan secara menyeluruh terutama kepada pemborong dan peniaga bagi memastikan harga barangan yang dijual di pasaran adalah terkawal.

Pegawai Perhubungan FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ada di kalangan peniaga terpaksa mengenakan harga jualan yang tinggi ekoran pembekal sendiri mengenakan caj yang tidak munasabah terhadap sesuatu barangan.

FOMCAKatanya kerajaan juga perlu memastikan mana-mana pemborong yang didapati mengenakan harga jualan yang tinggi kepada peniaga diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga.

“Peniaga atau peruncit bergantung kepada harga yang ditetapkan oleh pembekal atau pemborong jadi jika mereka dapat harga tinggi, maka terpaksa menjual semula juga dengan harga yang tinggi.

“Justeru pemantauan perlu ditingkatkan di kalangan pemborong untuk melihat sama ada mereka yang menyebabkan harga barang naik kerana kebiasannya peruncit tiada pilihan,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kenaikan harga sayur-sayuran hijau di Lembah Klang pada kadar RM10 sekilogram selepas bencana banjir berbanding RM3 sekilogram sebelum ini, Mohd Yusof berkata perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku.

Beliau berkata peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan menggunakan alasan bekalan kurang kerana kebanyakan sumber yang diperolehi bagi bahan berkenaan bukan datangnya dari negeri yang terlibat dengan banjir.

“Walaupun sayur-sayuran itu datangnya bukan dari negeri terlibat banjir seperti Cameron Highlands dan Ulu Yam tetapi kita dapati ramai penjaja menjadikannya sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.

“Saya amat berharap supaya kerajaan dapat mengambil tindakan pemantauan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan terhadap situasi yang berlaku sekarang,” katanya lagi.

EZY

 


Pengarang :