Selangorkini
NASIONAL

Kes Altantuya: Azilah, Sirul ke tali gantung

SHAH ALAM, 13 JAN: Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas didapati bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas membenarkan rayuan mereka.

Memetik Berita Harian Online, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

ALTANTUYATurut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua responden itu gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Suriyadi berkata, notis alibi yang dikemukakan kepada pendakwaan tidak disokong bukti kukuh kedua responden.

Katanya, mahkamah mendapati kedua responden mempunyai niat bersama melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).

Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas gagal hadir untuk menerima penghakiman.

altantuyaPendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; peguam bela, Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad mewakili Azilah selaku responden pertama, manakala Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi pihak respoden kedua iaitu Sirul Azhar.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua responden itu selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan berkenaan.

Kedua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.


Pengarang :