Selangorkini
SELANGOR

MAIS fokus pertahan agama, akidah umat Islam

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus fokus mempertahankan kesucian agama Islam dan akidah umatnya di negeri itu dari sebarang anasir merosakkan yang menggugat kestabilan serta kepercayaan terhadap agama Allah itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata ia adalah antara langkah diambil selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Petrsekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

“Hal itu selari dengan maqasid syariah iaitu membanteras ajaran sesat seperti syiah dengan menghapuskan anasir menggugat akidah umat Islam seperti pluralisme yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

lensa islam 1“MAIS akan turut memperkasa pengurusan kes undang-undang Islam dengan memastikan pegawai penguatkuasa agama diberi latihan dan pendedahan mencukupi berhubung pengendalian kes dan barang bukti serta memastikan pematuhan terhadap fatwa yang dikeluarkan turut diutamakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Adzib berkata, pihaknya akan turut memastikan penyelesaian kes tertangguh mahkamah syariah diselesaikan segera dengan meluluskan perjawatan baharu di Mahkamah Syariah tahun lalu dengan pembiayaan zakat.

Beliau berkata, 11,501 kes tertangguh direkodkan tahun lalu berbanding 13,789 tahun sebelumnya dengan pengurangan 17 peratus kes.

Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa“Kita akan juga mengenal pasti keperluan masjid dan sekolah agama di daerah yang kritikal serta memastikan masjid yang dibina sentiasa diimarahkan juga menjadi zon bebas politik.

“Pindaan dan penguatkuasaan kaedah pegawai masjid akan dilaksanakan tahun ini selari dengan pelantikan ahli jawatankuasa masjid baharu mulai tahun depan.

“Hal itu bagi merealisasikan peranan masjid sebagai pusat komuniti. Dengan pindaan ini, peranan jawatankuasa masjid berbeza dengan imam sebagai pegawai bertanggungjawab sebagai Pengurus Masjid,” katanya.

MAIS turut memberi tumpuan pemerkasaan ekonomi bagi memastikan zumber zakat, wakaf dan baitulmal dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi kemajuan serta kesejahteraan ekonomi umat Islam.

Katanya, pendekatan diambil MAIS bukan bersifat ekstremis, bahkan sama sekali tidak menyokong unsur terbabit dalam memartabatkan agama Islam demi memastikan agenda itu terlaksana.

“MAIS percaya pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan, keseimbangan dan tidak melampau adalah cara terbaik dalam menjaga kesucian agama Islam. Pada masa sama, tidak menafikan hak mengamalkan agama orang bukan Islam di Selangor,” katanya.

-NFN-


Pengarang :