Selangorkini
NASIONAL

Mangsa banjir turun 16,187

KUALA LUMPUR 10 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 145 orang setakat 9 pagi ini dengan lima pusat pemindahan dibuka berbanding 130 orang malam tadi.

Sementara jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Perak terus berkurangan manakala di Terengganu kekal, menjadikan keseluruhan mangsa di pusat pemindahan di negeri-negeri dilanda banjir turun kepada 16,187 orang daripada 17,719 orang malam tadi.

Banjir kiniDi JOHOR, sebanyak 32 orang penduduk Mukim Gemerah dipindahkan ke Balai Raya Kampung Batu Badak dan 91 orang dari Mukim Labis dipindahkan ke Balai Raya Kampung Segamat Kecil.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, lima penduduk dari Mukim Buloh Kasap ditempatkan di Balai Raya Kampung Spang Loi dan dua orang dari Mukim Buloh Kasap dipindahkan ke Balai Raya Kampung Mensudut Lama.

Selain itu, 15 orang dari Pagoh juga telah dipindahkan ke Kompleks Penghulu Pagoh.

Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat turut terputus hubungan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turun kepada 10,837 berbanding 11,697 orang yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan orang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Pekan menempatkan mangsa paling ramai iaitu 6,387 orang diikuti Maran (2,354 orang), Kuantan (1,005 orang), Temerloh (572 orang), Rompin (472 orang) dan Bera (47 orang).

Di KELANTAN, bilangan mangsa juga turun kepada 2,372 berbanding 2,440 orang seperti yang direkodkan malam tadi iaitu membabitkan 512 keluarga yang ditempatkan di 27 buah pusat pemindahan.

Berdasarkan statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, jajahan Gua Musang mencatatkan 1,157 orang, Kuala Krai (1,022), Machang (100) dan Tanah Merah (93).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus turun kepada 2,805 mangsa daripada 3,424 orang, sementara semua pusat pemindahan di Kuala Kangsar ditutup.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, sehingga kini hanya 15 pusat masih dibuka iaitu di Hulu Perak, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Perak adalah seramai 117, Perak Tengah (2,053), Manjung (155) dan Hilir Perak (480).

Di TERENGGANU, bilangan mangsa kekal 28 orang seperti direkodkan malam tadi dan kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Batu 14 Kuala Tayor dan Masjid Kampung Batu 14 Kuala Tayor.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah itu membabitkan tujuh buah keluarga yang berada di dua pusat pemindahan itu.

Sementara itu, air sungai utama di Terengganu berada pada paras normal pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :