Selangorkini
SELANGOR

Masjid Bandar Bukit Raja dakap teknologi solar, tuai air hujan

Oleh ASRI SAPFIE

KLANG, 17 JAN: Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja bukan sahaja menjadi salah satu mercu kebanggaan penduduk, malahan bakal menjadi anjakan dalam pembinaan masjid.

Ini kerana masjid ini bakal menggunakan teknologi ‘Rain Water Harvesting’ iaitu mengumpulkan sumber air hujan di bawah lantai masjid yang mampu digunakapakai bila-bila masa.

Selain itu, masjid ini merupakan masjid pertama menggunakan tenaga solar sebagai sumber utama tenaga di Malaysia.

Anggaran kos pembinaan pada Fasa I kira-kira 7 juta yang merangkumi dewan solat utama dan juga kemudahan asas masjid. Masjid yang dibina berkeluasan 4.23 hektar dijangka siap melalui Fasa I pada 2016. Kos keseluruhan dianggarkan RM19 juta.

Adun Sijangkang, Datuk Dr. Yunus Hairi berkata, beliau mahu masjid ini dijadikan contoh dari segi proses yang mengikut setiap prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan tempatan sehingga tiada sebarang halangan sehingga masjid ini siap dibina.

“Apabila setiap prosedur pembinaan dipatuhi dan diambil kira, proses pembinaan juga dapat dipercepatkan.” kata beliau.

“Kerajaan Negeri akan menyemak semula dan berbincang berapa jumlah yang sesuai untuk disumbangkan bagi tujuan pembinaan masjid ini.” kata beliau.

Uniknya, pembinaan masjid itu menggunakan sistem wakaf yang berbeza berbanding wakaf-wakaf yang sedia ada di Malaysia. Wakaf ruang solat diperkenalkan bagi memudahkan lagi pengiraan ruangan sembahyang para jemaah.

Menurut Pengurus Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja, Md Nazri Mohamed Nor, sebanyak kira-kira RM2 juta telah berjaya dikumpulkan dan mengalu-alukan lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan.

“Wakaf ruang solat ini berjumlah RM1,200 dan berkeluasan 8 kaki. Ini sebagai bukti bahawa wang yang didermakan bagi penderma dan pewakaf tidak dibazirkan dan jelas penggunaanya,” kata beliau.

Mereka yang berminat boleh melakukan serahan tunai kepada AJK pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja yang bertempat di Jalan Makyong 6A/KU5, Bandar Bukit Raja atau boleh didepositkan melalui Maybank 562843507019, CIMB 8600921727 atau Bank Islam 12010010093401.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Encik Nazri di talian 012-3757766


Pengarang :