Selangorkini
SELANGOR

MB mahu penjelasan Puncak Niaga lengah penstrukturan air

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri akan meminta penjelasan Air Selangor Sdn Bhd berhubung kelewatan Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd yang bertindak melengahkan isu penstrukturan air Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri mahu butiran lanjut syarikat konsesi itu yang bertindak sedemikian sedangkan perjanjian induk hanya memberi masa dua bulan untuk penyelesaian dengan pihak konsesi terbabit.

Katanya, tidak ada sebarang keperluan bagi membenarkan syarikat konsesi itu untuk melengah-lengahkan dalam memuktamadkan perjanjian.

“Saya akan dapatkan penjelasan dari Air Selangor mengapa Puncak Niaga memerlukan masa yang panjang dan bukannya seperti dalam perjanjian. Selepas 12 November beberapa perkara yang perlu diselesaikan lebih kepada soal pentadbiran.

“Jika mengikut perjanjian itu Puncak Niaga hanya diberi dua bulan untuk menyelesaikan isu penstrukturan air, jadi saya tidak nampak sebarang keperluan untuk membenarkan Puncak Niaga melengahkan perkara ini,” katanya dalam sidang media di SUK, di sini.

Mohamed Azmin berkata ketika ini, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada penyelesaian dengan pihak SPLASH.

“Pihak SPLASH sebelum ini diberi masa setahun mengikut perjanjian induk. Ini bermakna sehingga 12 September depan kita akan memuktamadkan perjanjian dengan pihak SPLASH,” katanya.

EZY


Pengarang :