Selangorkini
SELANGOR

MB: Rumah Mampu Milik ditetap tidak lebihi RM250,000

Oleh : NAEEM RAFFI

IJOK, 22 JAN: Harga rumah mampu milik (RMM) dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan swasta tidak akan melebihi RM250,000.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata beberapa inisiatif diambil bagi memenuhi permintaan RMM termasuk memperkenalkan skim pemilikan rumah.

Pecah Tanah di Kota Puteri Ijok-MB (11)“Kerajaan Negeri komited menjadikan pembangunan perumahan mampu milik teras utama pakej ekonomi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Rumah Selangorku Idaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 5, Kota Puteri di sini hari ini.

Katanya, PKNS patut melihat suasana ekonomi dan keupayaan rakyat di setiap pembangunan kediaman dimajukan.

“Keperluan itu diperhalusi dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dan menengah mampu memiliki kediaman,” katanya.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad dan Pengurus Besar PKNS, Azlan Md. Alifiah.

Projek pembinaan 198 unit itu projek pertama RMM milik PKNS yang dibangunkan menggunakan konsep ‘townhouse’.

Ia bakal dijual pada harga bermula dari RM180,000 sehingga RM220,000 seunit bergantung kepada keluasan tapak.

Setiap unit bakal tampil dengan reka bentuk moden dengan keluasan lantai bermula dari 940 hingga 1,040 kaki persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Menariknya, dua unit khas dibangunkan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

EZY

 


Pengarang :