Selangorkini
SELANGOR

MDKL terus fasa kedua misi bantuan kemanusiaan mangsa banjir

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JAN:  Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) meneruskan Misi Bantuan Kemanusiaan fasa kedua ke pantai timur demi meringankan bebanan mangsa banjir.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, bantuan dari segi tenaga yang digerakkan Skuad PANTAS MDKL itu diharap dapat meringankan beban mangsa.

IMG-20150110-WA0021“MDKL bersama skuad PANTAS sememangnya komited menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan walaupun di luar kawasan pentadbiran dan turut berkongsi kedukaan yang dialami mangsa banjir seiring dengan hasrat pentadbiran Kerajaan Negeri.” katanya kepada Selangor Kini menerusi satu kenyataan media.

Bagi Misi Bantuan Kemanusiaan kali ini, MDKL mengerakkan pasukan kedua seramai 14 anggota bagi menjalankan kerja pembersihan kawasan dan kemudahan awam.

Turut dibawa dalam konvoi berkenaan adalah sebuah lori, sebuah van dan sebuah pacuan empat roda serta kelengkapan pembersihan seperti ‘high cutter’, ‘chainsaw’, ‘water jet’, pam air juga generator.

IMG-20150110-WA0001Dalam misi itu, Penolong Penyelaras Skuad PANTAS MDKL, Shahrulnizam Khalil, menyerahkan sumbangan ‘Effective Microorganisms’ iaitu sejenis cecair yang berkeupayaan menghilangkan bau busuk di kawasan bencana banjir kepada Majlis Daerah Machang.

“Misi Skuad PANTAS MDKL ke pantai timur ini adalah selaras dengan seruan Kerajaan Negeri untuk PBT Selangor turut sama membantu mangsa banjir di negeri terlibat,” katanya.

Terdahulu, MDKL menghantar kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan fasa pertama bersama konvoi PBT yang lain dengan membawa tiga buah lori dan dua buah pacuan empat roda meredah laluan banjir untuk menyampaikan bantuan segera barang keperluan harian sumbangan Ahli Majlis MDKL, ahli perniagaan sekitar daerah Kuala Langat, orang ramai serta kakitangan MDKL.

Selain itu, sebuah lori dengan muatan yang sama juga turut digerakkan untuk memindahkan semua barang sumbangan untuk mangsa banjir di pantai timur menerusi Pusat Pengumpulan Bantuan Pengkalan Udara TUDM Subang.

-NFN-


Pengarang :