Selangorkini
NASIONAL

Paras air Pantai Timur dan Perak surut, Sabah bersiap-sedia

SHAH ALAM, 2 JAN: Sabah dilaporkan bersiap-sedia menghadapi bencana di kala paras air di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak semakin reda.

Pegawai Daerah Kota Belut Abdul Garni Itam berkata 204 mangsa banjir di Kota Belud telah dipindah ke pusat pemindahan Dewan Tun Said setakat jam 2 petang tadi, lapor agensi berita Bernama.

Di Pantai Timur dan Perak, sebahagian mangsa yang berlindung di pusat pemindahan telah dihantar pulang. Statistik setakat jam 12 tengah hari tadi menunjukkan seramai 44,591 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang, manakala di Kelantan seramai 27,282 mangsa, Terengganu seramai 2,917 mangsa, Perak seramai 7,513 mangsa, dan Johor pula seramai 138 mangsa.

Pusat Kawalan Operasi Bencana Johor melaporkan keadaan banjir di Johor masih tidak berubah.

Sementara itu, empat pusat kecil pengumpulan bekalan diwujudkan di Kedah, Melaka dan Perak bagi memudahkan pengagihan bekalan bantuan ke negeri-negeri terlibat dengan bencana banjir.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pusat itu bertempat di Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6RAMD) Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Jitra, Kedah; Dewan Serbaguna Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, Melaka; Dewan 2 Briged Markas Staf Stesen Ipoh, Perak dan Dewan Piyuntinan Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra di Ipoh.


Pengarang :