Selangorkini
NASIONAL

PAS bangun Perumahan Rakyat Budiman, bina semula rumah mangsa banjir

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JAN: Dewan Pemuda dan Muslimat PAS membangunkan Projek ‘Perumahan Rakyat Budiman’ membabitkan pembinaan semula rumah mangsa banjir yang sebahagiannya tinggal tangga dan tapak.

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat berkata, kos sebuah rumah menjangkau RM30,000 hingga RM40,000 dibiayai masyarakat awam dengan slogan ‘Daripada rakyat yang budiman untuk mereka yang memerlukan’.

Beliau berkata, konsep rumah kekal mengikut model Rumah Dhu’afak Kelantan bersaiz 34’x24′ yang menempatkan tiga bilik, ruang tamu, dapur, tandas dan beranda.

10933882_834579999914543_9068404656641610066_nKatanya, inisiatif itu dicetuskan selepas mendapat nasihat daripada konsultan kejuruteraan, arkitek, penasihat teknikal dan peguam yang mahir dalam urusan pembinaan bagi memastikan rumah yang dibina mencapai kualiti yang sesuai dengan harganya.

“Setakat ini, rumah yang dijanjikan adalah lima unit dengan wang tunai terkumpul RM192,000. Saya jangkakan tabung ini akan meningkat setiap hari.

“Rakyat Malaysia yang budiman akan memenuhkan tabung ini,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Suhaizan berkata, lokasi yang menjadi tumpuan adalah di Kuala Krai khususnya Manek Urai dan rumah perintis pertama dibuat di Kampung Temiang.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat di Kampung Gajah terdapat 12 unit rumah di tepi sungai yang akan dicadangkan untuk pembinaan semula, namun PAS belum mendapat maklumat sama ada mereka akan dipindahkan atau kekal menetap di lokasi sama.

Selain itu, katanya, konsep ‘Sumbangan Lot’ dengan minima RM10 ribu satu lot diwujudkan dan nama penyumbang dalam nilai yang besar akan dipamerkan di hadapan rumah PRB.

Suhaizan-Kaiat“Sebenarnya, ia datang daripada sumbangan yang besar. Mereka akan tahu di mana rumah yang akan disumbang dan perkembangan setiap bulan.

“Ini akan mewujudkan jalinan keluarga baru selepas banjir hasil daripada sumbangan mereka. Itu yang kita tekankan,” katanya.

Pihak yang sudi untuk menyumbang boleh membuat sumbangan terus ke Tabung Kemanusiaan Pemuda menerusi Akaun Maybank (564025400100)

Tabung itu akan diaudit setiap bulan oleh akauntan bertauliah dan laporannya akan didedahkan kepada masyarakat melalui media.

Penyumbang boleh menyemak kemajuan projek di www.rumahbudiman.com atau menghubungi hotline di talian 019-2447172.

-NFN-


Pengarang :