Selangorkini
SELANGOR

PBT tiada kompromi & tegas banteras premis pelacuran

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JAN: Pemeriksaan secara berkala sentiasa dilakukan untuk memantau premis tidak berlesen dan aktiviti yang mencurigakan termasuk pelacuran.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pemeriksaan dilakukan jabatan perlesenan dan penguatkuasaan berdasarkan jadual yang ditetapkan.

MBSAKatanya, pihak MBSA juga sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi lain dalam memantau aktiviti kurang bermoral dan menyalahi undang-undang.

“MBSA mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lesen dan menyenarai-hitamkan pemilik premis yang terlibat.

“Selaras dengan pendirian Kerajaan Negeri, MBSA sama sekali tidak akan berkompromi dengan aktiviti seumpama ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Baru-baru ini, akhbar pro-Umno mendakwa Selangor ditumbuhi pusat pelacuran dengan lebih 2,000 premis yang bertopengkan rumah urut serta nama perniagaan lain.

Bagaimanapun, Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah meragui statistik berkenaan dan menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dilakukan PBT.

Jais-logo kecikSementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata Kerajaan Negeri juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi membanteras aktiviti tidak bermoral itu.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terutama yang membabitkan mereka yang beragama Islam.

“JAIS khususnya mengalu-alukan usaha dan kerjasama dalam perkara ini,” katanya.

EZY


Pengarang :