Selangorkini
SELANGOR

Pejabat MB Perak terima cek sumbangan banjir dari Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengesahkan pihaknya mempunyai rekod bahawa Pejabat Menteri Besar Perak sudah menerima cek sumbangan bantuan banjir yang diserahkan awal minggu ini oleh Kerajaan Selangor.

Ketika ditanya sama ada sedia maklum berhubung dakwaan penolakan bantuan berkenaan Mohamed Azmin berkata, beliau tidak tahu menahu.

“Saya tidak tahu menahu. Cek untuk Kerajaan Perak sudah diserahkan dengan tangan ke Pejabat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Pejabat Penteri Besar juga mengesahkan penerimaan cek tersebut,” katanya kepada media.

Jelasnya, sebelum ini beliau mengarahkan cek tersebut diserahkan terus kepada semua wakil Kerajaan Negeri yang berhadapan musibah banjir.

Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, beliau berkata, perkara tersebut bukan satu masalah besar dan percaya bantuan itu akan dimanfaatkan untuk rakyat di Perak.

Pada masa sama, Exco Perak, Datuk Zainol Fadzi menerusi Whatsapp memaklumkan kepada Selangor Kini bahawa beliau tidak dimaklumkan berkenaan penolakan sumbangan itu.

“Maaf, saya tidak dengar pun isu ini,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Dr. Daroyah Alwi melahirkan kekesalan dengan adanya laporan mengatakan Kerajaan Perak menolak bantuan yang diberikan.

Setiausaha Politik kepada Pengerusi DAP Perak, Chong Zemin dalam satu kenyataan membidas Kerajaan Perak kerana menolak bantuan itu.


Pengarang :