SELANGOR

Penduduk Damansara Damai kecewa projek didahulukan, laluan ke-2 dikemudiankan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Penduduk Damansara Damai kecewa apabila bantahan mereka terhadap projek pembinaan pangsapuri 33 tingkat sebelum ini tidak diendah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sebaliknya, MBPJ memberikan kelulusan pembinaan projek yang dijangka paling awal bermula pada 2016.

Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment Saujana, Faizul Najib Abd Munaim berkata, keputusan itu bertentangan persetujuan yang dicapai antara MBPJ, wakil penduduk dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan sebelum ini.

rumah mampu milik sutera damansara 01“Dalam keputusan sebelum ini, mereka bersetuju untuk mensyaratkan kepada pemaju supaya membina akses kedua terlebih dahulu, kemudian baru boleh naikkan projek.

“Sekarang terbalik. Projek yang naik dulu dan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas di sini bertambah kronik,” kata Faizul ketika dihubungi Selangor Kini.

Faizul berkata, keputusan itu dimaklumkan kepada beliau oleh seorang Ahli Majlis beberapa hari lalu.

“Sebelum ini MBPJ panggil mesyuarat, beritahu projek dah diluluskan dan mereka ada juga minta pandangan kami. Dalam mesyuarat itu juga, YB Elizabeth Wong (Adun Bukit Lanjan) turut menggesa MBPJ kaji semula keputusan.

“Dua hari lalu saya dihubungi Ahli Majlis, memberitahu pemaju boleh teruskan projek dan paling awal bermula pada 2016,” katanya.

elizabeth wongSebelum ini, projek pembinaan pangsapuri 33 tingkat di Damansara Damai menerima bantahan penduduk disebabkan keadaan lalu lintas kawasan penempatan terbabit semakin sesak.

MBPJ selepas diasak penduduk yang disokong Elizabeth Wong akhirnya bersetuju untuk mensyaratkan laluan kedua dibina terlebih dahulu sebelum boleh memulakan projek terbabit.

-NFN-


Pengarang :