Selangorkini
BERITA UTAMA

Pok Su, Azmin dan kisah-kisah di Manik Urai

Oleh Asri Sapfie

‘Macam teh tarik..’ Begitu terdetik dalam hati melihat suasana bumi Kelantan dari tingkap kapal terbang, dek kerana keruh air bah yang melanda negeri itu.

Ungkapan itu kembali bergema dalam hati tatkala tiba di Manik Urai, kawasan paling terkesan oleh ‘Tsunami Kelantan’ itu.

Pun begitu, di sebalik bencana alam itu, ia menyatukan kaum, agama mahupun ideologi politik lantaran sibuk bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.

Derma wang ringgit dan tenaga tiada noktahnya. Perpaduan tersemai tanpa dibajai benih-benih perkauman. Semua mengerah tenaga, membantu sedaya mungkin demi meringankan derita mangsa.

Sengketa politik juga berehat seketika. Cuma, cakap-cakap politik tak pernah reda, khususnya dalam dunia tanpa sempadan – media sosial seperti facebook mahupun twitter.

‘Datang nak tunjuk buat kerjalah tu’ atau ‘setakat tolong tengok dan ambil gambar, baik tak payah.’ Tuduhan itu mudah dilempar walau tanpa bukti atau fakta dimanipulasi.

IMG_2605

Ini turut terjadi kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang kerap turun membantu menangani masalah banjir di Pantai Timur, bersama delegasi dari pelbagai agensi dari Selangor.

Ini perlu diperbetul. Yang jelas perlu diperjelaskan, yang faham perlu difahamkan.

Sedangkan, pengalaman ketika membuat liputan bersama delegasi Selangor tidak mudah. Dalam asyik merakam imej kesan banjir, kadang kala tertinggal di belakang.

Tahu-tahu, Azmin sudah di berada rumah mangsa banjir menolong mengeluarkan barang-barang rosak. Tahu-tahu, Azmin sedang membasuh lumpur mengguna penyapu.

Langsung tidak menunggu penulis bersedia membuat kerja – merakam gambar termasuk pergerakan beliau. Mujur ada yang sempat dirakam tapi tidak kurang juga yang tidak sempat.

Hakikatnya, orang Kelantan begitu menyanjungi keprihatinan Selangor dan pentadbiran Azmin yang peka pada situasi sedemikian.

Mereka mengkagumi kaliber kepimpinan beliau, malah ada yang tanpa sengaja rupa-rupanya – tanpa sedar menghambur pujian ketika orang yang dipuji, ada berdekatan.

IMG_2999Itu yang terjadi kepada Pok Su berusia 58 tahun. Insiden itu masih segar bermain dalam minda. Tatkala beliau memberi pujian dan penghargaan kepada Selangor, beliau tidak perasaan yang berdiri berdekatannya ialah Dato’ Menteri Besar itu sendiri. Comot peluh, mungkin.

Tersentak Pok Su apabila Azmin diperkenalkan kepadanya oleh beberapa orang, lantas terus dipeluk erat tubuh Azmin, kemudian menyeka mata yang mulai bergenang.

“Maaf tuan, ambo (saya) dok (tak) perasan tadi.” Hanya itu yang mampu diucapkan Pok Su sambil disambut dengan senyuman Azmin dan kami yang terharu memerhati.


Pengarang :