Selangorkini
SELANGOR

Projek jalan sehala PJ diteruskan

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 29 JAN  Fasa kedua projek jalan sehala sekitar bandar raya Petaling Jaya melibatkan beberapa jalan utama kawasan itu akan diteruskan sejajar dengan keperluan pada masa kini.

Pemangku Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata, ia adalah kesinambungan daripada projek percubaan fasa pertama jalan sehala yang mula dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, kajian mengenai jalan sehala sudah dibuat MBPJ bermula tahun 1992 dan beberapa siri mesyuarat sudah diadakan sepanjang tahun bagi membincangkan perkara berkenaan.

jalan sultan mbpj“Kita juga sudah mengadakan perjumpaan bersama penduduk setempat bagi mendapatkan pandangan dan keperluan mereka berhubung perkara ini, manakala hasilnya sudah dimaklumkan tempoh hari dalam mesyuarat MBPJ,” katanya.

Pada masa sama, Puasa berkata, MBPJ akan melantik pasukan audit keselamatan jalan raya untuk membuat semakan di peringkat pelaksanaan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya.

Katanya, ia bagi memastikan laluan sehala itu selamat digunakan pengguna untuk jangka masa panjang.

“Audit akan dibuat di peringkat pelaksanan, ketika projek sedang berjalan sehingga ia siap sepenuhnya kerana kita amat menitikberatkan keselamatan pengguna.

Puasa“Selain itu, kita juga akan menjalankan bancian penduduk melalui Merdeka Center selain mengadakan mesyuarat bagi membincangkan aspek keselamatan dan jalan sehala ini boleh digunakan secara maksimum oleh penduduk,” katanya.

Antara arah aliran lalu lintas ke destinasi utama yang terlibat dengan pelaksanaan jalan sehala adalah Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Timur, Jalan Utara dan Jalan Yong Shook Lin.

Ia membabitkan lapan kawasan sekitar iaitu Amcorp Mall, Hotel Hilton, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kimia, Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Dewan Sivik MBPJ, Balai Polis Petaling Jaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Mata Tun Hussein Onn dan Menara MBPJ.

-NFN-


Pengarang :