Selangorkini
SELANGOR

RM400,000 taja umrah 60 penjawat awam cemerlang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JAN: Sejumlah RM400,000 diperuntukkan bagi menaja 60 penjawat awam menunaikan ibadah umrah, pada Februari ini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, insentif itu diberi berikutan prestasi cemerlang ditunjukkan kakitangan terbabit sepanjang perkhidmatan masing-masing.

MB “Umrah perlukan keikhlasan untuk kita dapatkan keredhaan Allah SWT dan disiplin tinggi ketika mengerjakannya.

“Semoga ia memberi perangsang kepada penjawat cemerlang ini untuk lebih cemerlang lagi di masa hadapan,” kata Mohamed Azmin ketika melancarkan Program Lambaian Kaabah Selangorku di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Jelas Mohamed Azmin, peruntukan itu diluluskan pada 11 Jun 2014 dalam Mesyuarat Kerajaan Selangor (MMKN) sebagai insentif kepada penjawat awam.

Sebelum itu dalam ucapan alu-aluan, Exco Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, program itu dikhaskan kepada penjawat awam dalam kumpulan sokongan sahaja.

Katanya, antara kriteria dijadikan garis panduan pemilihan adalah anak kelahiran Selangor, belum pernah mengerjakan umrah atau haji atau sudah lama mengerjakan kedua-duanya dan kumpulan sokongan.

“Mereka juga perlu sihat tubuh badan dengan mendapat syor doktor, prestasi cemerlang berdasarkan penilaian majikan dan tiada kes keberhutangan serius,” katanya.

Penerima berkenaan terdiri daripada kakitangan anak syarikat negeri, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pentadbiran kerajaan negeri, agensi kerajaan, Pejabat Exco, pejabat DUN, pejabat Speaker, guru takmir dan Kafa Selangor.

EZY


Pengarang :