Selangorkini
SELANGOR

Selangor ambil tindakan jika pemilik premis ganggu naik taraf Sungai Binjai

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 5 JAN: Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap dua pemilik premis perniagaan di Jalan Kapar, di sini, jika mereka masih enggan memberi kerjasama terhadap kerja naik taraf sistem saliran ke arah Sungai Binjai.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata projek mendalamkan longkang sedia ada tergendala ekoran gangguan pemilik premis terbabit, sedangkan ia sepatutnya siap, pada Oktober lalu.

Beliau berkata, projek mengatasi masalah banjir di kawasan Dun Sungai Pinang itu tidak dapat disempurnakan kerana pemilik premis bertindak menutup longkang bagi membolehkan mereka meletakkan kenderaan terpakai untuk tujuan jualan.

Dato Teng lawat tapak projek naiktaraf Sungai Binjai (5)“Projek ini bertujuan mengatasi masalah banjir yang mengganggu ratusan perumahan di Dun Sungai Pinang tetapi tidak dapat disempurnakan kerana gangguan daripada pemilik premis di kawasan kiri dan kanan projek perparitan yang sedang dijalankan.

“Disebabkan tapak untuk meneruskan pembinaan itu terpaksa melalui tanah pemilik sedia ada, mereka sengaja mengatakan ia akan mengganggu perniagaan yang dijalankan dan menghalang jentera kontraktor masuk ke tapak pembinaan ini.

“Ini adalah tindakan tidak munasabah kerana kita menaik taraf demi kepentingan orang ramai, sepatutnya mereka memberi kerjasama sepenuhnya bagi mengatasi masalah banjir,” katanya yang juga Adun Sungai Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan di tapak projek menaik taraf Sungai Binjai di Jalan Kapar, dekat sini, hari ini.

Dato Teng lawat tapak projek naiktaraf Sungai Binjai (7)Chang Khim berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Tanah Daerah Klang diarahkan supaya mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah di kawasan itu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek perparitan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri turut mengambil sikap mesra dengan menunggu proses pemutihan tanah di kawasan itu walaupun pemilik premis terbabit tidak mempunyai permit bangunan.

“Jika mereka berkeras dengan tindakan tidak munasabah dan memudaratkan orang awam, saya minta PBT mengambil tindakan terhadap tanah dan premis perniagaan ini.

“Untuk meneruskan projek ini, jentera Kerajaan Negeri perlu masuk ke tapak persendirian dan didakwa melakukan pencerobohan tetapi mereka lupa bangunan ini tidak mempunyai permit.

“Kalau Kerajaan Negeri boleh beri masa, kenapa mereka tidak boleh beri kerjasama kepada kita,” katanya.

Projek menaik taraf sistem saliran ke arah Sungai Binjai dengan mendalamkan longkang sedia ada daripada empat kaki kepada 12 kaki dengan kos kira-kira RM357,000 bermula April lalu.

Sementara itu, salah seorang pemilik premis di kawasan itu, Ch’ng Chung Seong berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengemukakan permohonan untuk mendapatkan permit perniagaan, namun tidak diluluskan MPK sehingga hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan dengan kadar segera.

-NFN-


Pengarang :