Selangorkini
SELANGOR

Sumbangan RM10,000 bantu pusat terapi autisme

Oleh: AFEEQA AFEERA

SELAYANG, 27 JAN: Peralatan dan barangan bernilai RM10,000 disumbangkan untuk membantu kanak-kanak autistik agar golongan istimewa itu dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Sumbangan itu diserahkan kepada Pusat Jagaan Terapi Autistik Nouri (Letzhop) yang disempurnakan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

YB Daroyah rasmikan Pusat Autisme di Nouri Selayang (13)Selain bantuan peralatan, Kerajaan Negeri turut menyerahkan sumbangan bernilai RM3,000 bagi tujuan melicinkan operasi pusat jagaan itu yang mula ditubuhkan pada November 2013.

Daroyah berkata Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan ibu bapa untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak autistik melalui terapi berterusan.

“Ramai di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak autistik tetapi tidak mampu untuk menghantar anak mereka ke pusat jagaan bagi mendapatkan terapi yang sepatutnya.

“Dengan adanya pusat jagaan seperti ini yang menawarkan khidmat terapi dengan yuran berpatutan, saya kira ia satu usaha baik dan Kerajaan Negeri memberi sokongan untuk membantu meringankan beban pusat jagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Letzhop di Selayang Paragon, di sini.

Daroyah turut meminta mana-mana pusat jagaan autistik yang layak memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri di bawah stanco kebajikan.

Katanya meskipun bantuan yang diberikan tidak tinggi, namun ia sedikit sebanyak meringankan bagi menampung bilangan kanak-kanak autisme semakin bertambah.

“Kerajaan Negeri tidak menetapkan peruntukan khas sebarang perkara berkaitan kebajikan, tetapi sekiranya ada permohonan kita uruskan secepat mungkin.

“Kita harapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang memiliki pusat jagaan seperti ini yang sangat berguna untuk mendidik anak-anak istimewa,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Letzhop Cawangan Selayang, Fakhri Affandi, berkata bantuan itu dapat meringankan beban operasi pusat jagaan berkenaan bagi memberi pendidikan dan terapi sempurna kepada kanak-kanak yang menghidap autisme.

Katanya bantuan peralatan itu sedikit sebanyak mampu merangsang perkembangan kanak-kanak autistik yang memerlukan perhatian dan terapi khusus.

“Setakat ini kami bergerak secara terhad dengan kemudahan yang ada untuk mendidik anak-anak autistik ini dan ada menerima bantuan daripada orang persendirian, syarikat korporat dan terbaru Kerajaan Negeri.

“Kami sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan sentiasa mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin tampil membantu,” katanya.

EZY


Pengarang :