SELANGOR

Syabas sangkal dakwaan gangguan bekalan air 36 jam seluruh Selangor

SHAH ALAM 22 JAN: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyangkal maklumat palsu tersebar luas menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial (Facebook) berhubung isu gangguan bekalan air yang berlaku di seluruh Selangor.

Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat Hal Ehwal Awam, Priscilla Alfred berkata pemantauan SYABAS mendapati terdapat sesetengah pihak sengaja menimbulkan panik khususnya di kalangan pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur menyatakan berlakunya gangguan bekalan air selama 36 jam.

syabass“Ingin ditekankan maklumat tersebar ini tidak benar kerana gangguan selama 36 jam yang berlaku merujuk kerja kecemasan melibatkan pembaikan paip pecah di jajaran paip utama bersaiz 1200MM dari Loji Semenyih ke Bandar Bukit Mahkota, Sepang.

“Kerja kecemasan ini melibatkan gangguan bekalan air di sebahagian kawasan di daerah Hulu Langat dan Sepang sahaja,” kata Priscilla dalam kenyataan media.

Katanya, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, kerja kecemasan ini disiapkan sepenuhnya dan bekalan air dibuka semula kepada pengguna.

“SYABAS menjangkakan bekalan air di semua kawasan terlibat pulih sepenuhnya menjelang 8:00 pagi esok, 23 Januari seperti dinyatakan di dalam kenyataan dikeluarkan SYABAS menerusi media massa pada 20 Januari,” katanya.

Katanya SYABAS menyeru kepada semua pengguna tidak membuat sebarang spekulasi atau sengaja mencipta berita palsu.

Pengguna disaran melayari laman sesawang SYABAS iaitu www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini.

 


Pengarang :