Selangorkini
SELANGOR

Terpilih umrah bagaikan ‘bulan jatuh ke riba’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JAN: Penjawat awam terpilih menyertai program Lambaian Kaabah Selangorku menganggap insentif diberikan kerajaan negeri itu bagaikan bulan jatuh ke riba.

Ketua Guru Sekolah Kafa Kampung Bukit Cherakah, Jeram, Siti Zaitun Mohd Said, 48, berkata, ini berikutan kos mengerjakan umrah tinggi dan menjadi impian setiap umat Islam menjejakkan kaki ke Makkah.

SITI ZAITUN MOHD SAID“Saya dah 25 tahun mengajar sebagai guru Kafa tak menjangka Kerajaan Selangor hubungi saya beritahu jemputan mengerjakan umrah yang memang menjadi impian semua orang.

“Macam saya ini nak kata mampu tu, memanglah kurang mampu sebab itu saya teruja sangat rasanya seperti bulan jatuh ke riba dan saya ucapkan terima kasih,” kata Siti Zaitun kepada Selangor Kini di Majlis Pelancaran Lambaian Kaabah Selangorku di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Guru Kafa Intergrasi Al-Insaniah Taman Sri Indah, Sungai Besar, Zurina Zainuddin, 42, turut merasa bersyukur perkhidmatannya selama 20 tahun sebagai guru Kafa mendapat penghargaan Kerajaan Negeri.

ZURINA ZAINUDDIN“Saya mengikut prosedur yang sepatutnya dan tak sangka terpilih. Memang semua orang ada impian masing-masing dan inilah impian saya. Terima kasih banyak-banyak,” kata Zurina.

Shamsuddin Manan, 56, pula memberitahu insentif dipilih mengerjakan umrah itu mendorong beliau untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.

“Insha-Allah dalam baki empat tahun lagi untuk saya pencen, saya akan berbakti dengan lebih cemerlang lagi. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana memilih saya,” kata Shamsuddin.

Program Lambaian Kaabah yang julung kali diadakan tahun ini merupakan insentif Kerajaan Negeri Selangor terhadap perkhidmatan cemerlang kakitangan anak syarikat negeri, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pentadbiran kerajaan negeri, agensi kerajaan, Pejabat Exco, Pejabat DUN, Pejabat Speaker, Guru Takmir dan Kafa Selangor.

EZY


Pengarang :