Selangorkini
SELANGOR

Teruja mulakan persekolahan, murid tahun 1 bangunkan ibu jam 5 pagi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 12 JAN: Gara-gara teruja memulakan persekolahan, murid darjah satu Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2, di sini, Muhammad Amirul Syazwan mengejutkan ibu dan bapanya daripada tidur, pada jam 5.00 pagi.

Ibunya, Siti Maheran Mat Jusoh, 31, berkata telatah Muhammad Syazwan itu menyebabkan dia turut teruja untuk menghantar anak sulungnya itu ke sekolah.

20150112_105114“Dia sangat teruja, tak sabar masuk sekolah sampai kejut kami dari tidur jam 5.00 pagi. Setakat ini, Alhamdullilah dia tak menangis atau meragam.

“Persiapan sekolah pula saya sudah siapkan awal walaupun urusan pendaftaran agak lewat disebabkan terkandas kerana banjir ketika berada di kampung di Gua Musang, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sementara itu,  anggota tentera, Mohd Hanif Omar, 32, yang turut menghantar anak sulungnya memulakan persekolahan hari ini berkata, peningkatan perbelanjaan keluarga untuk menampung kos persekolahan tidak menghalang dia menyediakan persiapan persekolahan lebih awal.

20150112_104037“Ini anak pertama, memang teruja. Jadi persediaannya, saya dah siapkan awal-awal lagi.

“Memang perbelanjaan meningkat tapi tak mengapa demi masa depan anak. Harap dia belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Suri rumah, Normariah Saleh, 37, pula berkata, tahun ini adalah pengalamannya kali keempat.

“Anak saya semua dah bersekolah dan tahun ini yang bongsu, dia memang manja sikit.

“Bila semua anak bersekolah, perbelanjaan memang terasa bertambah tetapi persekolahan anak kena utamakan,” katanya.

Sesi persekolahan di Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa negeri bermula hari ini selepas ditunda akibat bencana banjir.

-NFN-


Pengarang :