Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Wanita PKR terbabit secara langsung kumpul bantuan mangsa banjir

Oleh: ZURAIDA KAMARUDDIN

Tahun 2014 telah tiba di penghujungnya, dengan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan bencana alam paling dasyat pernah terjadi di dalam sejarah Malaysia yang melibatkan hampir 250,000 rakyat Malaysia terjejas oleh banjir di seluruh negara. Ucapan takziah juga  buat ahli keluarga serta rakan-rakan dan penumpang anak kapal pesawat QZ8501.

Perasaan sedih dan simpati menggamit hati saya apabila satu demi satu peristiwa yang  tidak diingini telah menimpa negara ini. Marilah kita terus berdoa agar kesusahan yang menimpa mereka yang terlibat diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusan.  InsyaAllah.

Sehubungan dengan itu, Wanita Keadilan kini terlibat secara penuh dalam pengumpulan dan pengagihan barang bantuan kepada mangsa banjir melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) di bawah Kerajaan Selangor. Selain itu, di atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Mohamed Azmin Ali telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Kerajaan Kelantan dan RM100 ribu masing-masing untuk Perak, Pahang dan Terengganu sebagai bantuan kepada mangsa banjir di negeri tersebut.

Melihat kepada keadaan ekonomi negara ini pula, nilai mata wang Ringgit yang semakin menurun adalah ditahap yang sangat membimbangkan. Dalam tinjauan yang sama, terutamanya dengan peningkatan inflasi dan pasaran yang semakin menurun, serta hutang perbelanjaan isi rumah yang melonjak tinggi dan pengaliran keluar wang haram yang tidak terkawal, haruslah dibendung dengan kadar segera. Memerangi isu rasuah dan pengawalan pengeluaran wang haram perlu menjadi fokus utama bagi mengatasi masalah-masalah tersebut.

Daripada isu-isu perkauman dan agama terus dimainkan di mata rakyat, adalah baiknya masalah ekonomi negara ditumpukan. Saya percaya isu-isu ini menjadi ledakan umum yang disengajakan sebagai salah satu cara untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada permasalahan lebih penting.

Pada tahun 2014, saya telah dihalang sebanyak dua kali daripada memasuki Sarawak tanpa alasan kukuh diberikan. Tan Sri Adenan Satem perlu lebih matang dan professional dalam membenarkan pimpinan-pimpinan dari parti pembangkang untuk memasuki Sarawak tanpa sekatan. Dipetik dari kenyataan The Star mengatakan Sarawak telah mengetatkan peraturan imigresen dan akan meningkatkan penelitian pelawat dari Semenanjung bagi tujuan mengelakkan extrimism agama dan perkauman dari memasuki Sarawak. Ini mungkin bertujujuan bagi menyekat extrimis seperti Ridzuan Tee dan Ibrahim Ali yang lantang dalam mempromosikan pandangan mereka terhadap isu-isu perkauman dan agama. Namun yang demikian, amat mengecewakan apabila tidak dinyatakan sebab-sebab bagi pemimpin pembangkang yang tidak dibenarkan masuk ke negeri tersebut.

Pada tahun ini juga, Wanita Keadilan telah melancarkan petisyen di seluruh negara bahawasanya sebahagian daripada BR1M wajar diagihkan kepada suri rumah. Ini adalah kerana wanita memainkan peranan utama dalam membuat keputusan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Selain itu juga, Wanita Keadilan telah melancarkan satu lagi kempen bagi merekrut ramai lagi wanita untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat. Menjadi harapan dengan meningkatnya penyertaan wanita dalam politik akan menjadi wakil kepada suara 52% pengundi wanita yang mengundi di negara ini.

Saya ingin menegaskan bahawa walaupun masih banyak perkara yang harus dilaksanakan, Wanita Keadilan berikrar untuk terus menegakkan agenda wanita iaitu kuota 30% yang telah dipinda dan dimasukkan ke dalam perlembagaan parti tahun ini.

Akhir sekali, saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjadi lebih serius dalam menyediakan bantuan dan kebajikan kepada mangsa-mangsa banjir  Malaysia yang memerlukan bantuan pada masa ini dan bukannya menyibukkan  diri bermain golf atau pembungkusan semula barangan kepada mangsa banjir dengan menampal logo BN dan mengambil gambar untuk tujuan publisiti.

Sebuah kerajaan yang bagus adalah kerajaan yang prihatin mendahulukan kepentingan rakyat. Pakatan Rakyat akan berusaha untuk memberikan Malaysia sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik. InsyaAllah.

Selamat Tahun Baru diucapkan buat semua. Semoga tahun 2015 akan menjadi tahun yang lebih baik dari sebelumnya.

 # Zuraida Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita PKR


Pengarang :