SELANGOR

Datum Jelatek: Pengerusi BBDJ tarik kenyataan, bukan PKNS tak nak saman

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendedahkan dokumen kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Mohd Salehuddin Abd Samad, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (sivil), yang dibuat pada 7 Ogos 2014.

Dokumen penarikan semula kenyataan yang dikeluarkan terhadap PKNS berhubung projek Datum Jelatek itu dibuat sebagai penyelesaian supaya perbadanan berkenaan tidak meneruskan tindakan saman terhadap Salehuddin.

Ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa PKNS menarik balik saman terhadap Salehuddin disebabkan kebimbangan kalah dalam perbicaraan itu.

datumjelatek02Dalam tindakan saman itu, PKNS sebagai plaintif menamakan Salehuddin sebagai defendan pertama, Datuk Mustapa Omar mewakili Harian Metro dan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd sebagi defendan kedua serta New Straits Times Press (M) Sdn Bhd sebagai defendan ketiga.

Kenyataan menarik balik tuduhan terhadap PKNS itu dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Rosnaini Saub.

“Saya Mohd Salehuddin Abd Samad, defendan pertama bersetuju menarik balik sepenuhnya perkataan-perkataan diadukan yang terkandung dalam kenyataan akhbar yang saya berikan terhadap PKNS dan seterusnya diterbitkan dalam edisi Ahad akhbar Harian Metro sebagai satu artikel bertajuk ‘bantah bina kondo’ pada 24 Febuari 2013.

“Saya mengaku janji bahawa akan mendapatkan penjelasan PKNS terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan dan komen terhadap PKNS berkenaan projek Datum Jelatek pada masa hadapan,” katanya dipetik daripada dokumen penghakiman terbabit.

Interview Khas PKNS isu Datum jelatek (1)Salinan dokumen pengakuan Salehuddin itu dihantar PKNS kepada Selangor Kini menerusi satu e-mel, semalam.

Terdahulu, Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah berkata, PKNS tidak pernah menarik balik saman itu sebaliknya diselesaikan dengan persetujuan Salehudin menarik semula kenyataan beliau.

“Saya tegaskan di sini, PKNS tak pernah menarik semula saman tetapi diselesaikan dengan persetujuan Salehuddin menarik kenyataan beliau,” kata Azlan.

Dokumen lima muka surat itu turut menyatakan PKNS boleh meneruskan tindakan saman jika Salehuddin gagal mematuhi penghakiman itu pada masa akan datang.

-NFN-

 


Pengarang :