SELANGOR

Mahkamah putuskan hanya bayar RM120,000 pada penduduk bantah Datum Jelatek

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikatnya Datum Corporation International menawarkan harga tertinggi kepada pemilik empat blok rumah pangsa dan kedai bagi memberi laluan projek Datum Jelatek dijalankan.

Pengurus Besar PKNS,  Azlan Md Alifiah berkata, ia terbukti apabila 14 daripada 192 pemilik yang tidak berpuas hati dengan tawaran itu membawa isu terbabit ke mahkamah dan hanya menerima RM120,000 sahaja seperti yang diputuskan akhir 2013.

datumjelatek02“Kita dah labur kira-kira RM130 juta hingga RM150 juta. Dari segi pampasan sahaja, kita dah bayar RM25 juta. Semua dapat pampasan termasuk mereka yang bawa Datum Corp ke mahkamah.

“Hakikatnya, penilai profesional menilai rumah itu cuma RM100,000 untuk rumah dan kedai (RM130,000). Tetapi kita bayar RM250,000 hingga RM300,000 bagi rumah dan lot kedai RM450,000 hingga RM500,000.

“Apabila mereka membawa Datum Corp atau PKNS ke mahkamah, keputusannya mereka cuma dapat pampasan RM120,000. Jumlah ini lebih rendah daripada apa yang kita tawarkan sebelum itu,” katanya kepada Selangor Kini di Ibu Pejabat PKNS, di sini, semalam.

Interview Khas PKNS isu Datum jelatek (1)Azlan yang juga Pengerusi Datum Corporation International berkata, pampasan itu ditetapkan berdasarkan keluasan dan jenis unit masing-masing.

Pemilik rumah pangsa dua bilik dengan keluasan 550 kaki persegi mendapat pampasan RM250,000 dan bagi rumah pangsa tiga bilik dengan keluasan 705 kaki persegi pula menerima RM300,000.

Sementara itu, pemilik kedai berkeluasan 550 kaki persegi pula menerima pampasan RM450,000 dan RM550,000 untuk keluasan 705 kaki persegi.

-NFN-


Pengarang :