SELANGOR

MB: Senarai pembeli Datum Jelatek tidak didedah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 11 FEB : Selangor tidak akan mendedahkan senarai pembeli dan pemohon projek kondominium Datum Jelatek kepada umum, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata ia berikutan tidak adil bagi pihak Kerajaan Negeri untuk bertindak demikian terhadap pembeli hartanah terbabit.

Datum Jelatek“Bukan kita tidak boleh dedahkan tetapi adakah adil untuk kita dedahkan nama orang yang membeli hartanah?

“Kalau anda membeli kereta atau rumah, mahu tak saya dedahkan nama anda? Mestilah tidak,” katanya selepas menyaksikan Upacara Menandatangani Perjanjian Antara Perspektif Masa Sdn. Bhd. & China Railway Engineering Sdn. Bhd. Dan Upacara Menandatangani Perjanjian Pinjaman Antara MBSB & CREC di Grand Dorsett, hari ini.

Mohamed Azmin turut mengulang pendirian sama bahawa Selangor menyanggah dakwaan sempit segelintir pihak yang masih memainkan sentimen agama dan kaum berhubung perkara itu.

Katanya tindakan jahat dan kotor itu sengaja ditimbulkan sedangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah mengeluarkan kenyataan bertulis bahawa seramai 1,200 permohonan sudah diterima meskipun hanya 680 unit ditawarkan kepada Bumiputera.

“Tuduhannya apa, habislah kalau orang Cina sudah masuk kawasan Datuk Keramat sedangkan sambutan (yang diterima daripada Bumiputera) cukup baik.

“Isunya orang Melayu mampu membeli hartanah bernilai RM700,000, itu sahaja,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata projek Datum Jelatek tetap akan diteruskan meskipun menerima bantahan, selain menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan melayan sebarang bantahan bersifat perkauman dan ekstremisme sempit.

Projek Datum Jelatek bermula pada 2008 di atas tapak seluas 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek, melibatkan pembangunan 4 blok bangunan kondominium mewah, hotel, pejabat dan pusat beli-belah.

EZY

 


Pengarang :