Selangorkini
SELANGOR

Penterjemahan karya antarabangsa martabat bahasa Melayu

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 FEB: Program penterjemahan karya antarabangsa bakal merancakkan budaya membaca dan mendedahkan rakyat dengan ilmu.

Pengurus Pemasaran, Abdul Nasir Saari, 45, berkata Selangor sebagai negeri termaju perlu mempakejkan pembangunan ilmu rakyat seiring pembangunan fizikal yang pesat.

a (1)“Diharap apa diusahakan direalisasikan kerana pembangunan negeri perlu disertai pembangunan (ilmu) rakyatnya,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Pesta Buku Selangor 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), baru-baru ini.

Sementara itu, Guru, Masitah Masri, 38, berkata program penterjemahan karya antarabangsa memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

b (1)“Bila karya besar antarabangsa diterjemah ke dalam bahasa Melayu, ia meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

“Ia memudahkan  pemahaman di kalangan pembaca sekaligus meningkatkan jumlah pencinta buku,” katanya yang berbelanja RM250 membeli bahan bacaan di Pesta Buku.

Bagi, Pengurus Kewangan, Maslina Jamaen, 43 turut berkongsi pandangan sama dan berharap Bahasa Melayu tidak terus terpinggir.

c (1)“Karya besar semua dalam bahasa asing dan boleh dikira bahan bacaan seumpama itu dalam bahasa Melayu.

“Sebagai pencinta buku, sudah tentu hasil usaha itu ditunggu-tunggu kami untuk membaca buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membentangkan program penterjemahan karya antarabangsa ketika Belanjawan Selangor 2015 sebagai cabang dalam idea menjana industri budaya dan intektual.

Penganjuran program itu mengambil ilham daripada Tamadun Islam di Tanah Arab (The Baghdad Enlightenment) pada kurun ke-10, budaya Renaissance di Barat bermula kurun ke-16 dan kebangkitan Meiji di Jepun pada kurun ke-19.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyentuh hal sama ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2015, baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan ketika diwawancara Selangor Kini berkata usaha itu menepati agenda peningkatan tamadun setempat kerana karya besar tamadun lain dalam bidang ilmu dan susastera dapat memberi nilai tambah yang penting.

EZY

 


Pengarang :