SELANGOR

Skimsel turun padang capai sasaran 2,500 Sadiq

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 FEB: Skim Mikro Kredit Selangor (Skimsel) turun padang ke lokasi membabitkan orang ramai dalam usaha mencapai sasaran  2,500 Sadiq (peserta) tahun ini

Pengurus Kanan Operasinya, Normaiza Yahya berkata, Skimsel juga terus membuka peluang kepada peniaga kecil yang berkelayakan untuk menikmati skim pembiayaan yang ditawarkan.

pic- SKIMSEL&MIMBAR“Kakitangan bahagian operasi sering jalankan promosi dan turun ke kawasan tumpuan orang ramai. Usaha ini akan berterusan dalam memastikan lebih ramai lagi peniaga yang layak menerima manfaat ditawarkan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Terbaru Skimsel membuka kaunter di Pesta Buku Selangor 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan di Batu Caves ketika sambutan perayaan Thaipusam.

Normaiza berkata, mereka yang berminat untuk memohon skim berkenaan boleh mengunjungi sembilan cawangan Skimsel di setiap daerah.

“Kita memang terbuka, mereka yang berminat untuk menyertai program Skimsel boleh berurusan di cawangan kami yang ada di sembilan daerah.

“Semua orang ada peluang, tidak ada sekatan asalkan pemohon layak dengan syarat yang ditetapkan. Mereka berhak menikmati manfaat program,” katanya kepada Selangor Kini.

SKIMSEL12Sebelum ini, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyeru peniaga kecil yang berkelayakan menyertai Skimsel dan Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar).

Gesaan itu dibuat ekoran Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan 2015 khusus untuk peniaga sedia ada dan yang ingin membina perniagaan baru dalam keadaan ekonomi yang dijangka getir tahun ini.

Sepanjang beroperasi pada 2010 sehingga 31 Disember 2014, Skimsel berjaya menyalurkan dana kepada 11,163 peserta (Sadiq) dengan pembiayaan RM94 juta.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Ibu Pejabat Mimbar Selangor di talian 03-55413616 dan Yayasan Dar al Qard al Hassan Selangor (bagi Skimsel) 03-5519 1692 dan 03-55212312 atau terus ke Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan masing-masing.

-NFN-


Pengarang :