SELANGOR

Peti surat rosak: Kesedaran awam perlu dipertingkat

SHAH ALAM, 13 MAC: Pelbagai pihak termasuk kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi ekoran perbuatan vandalisma pihak tidak bertanggungjawab.

Antara pihak yang terkena tempias kegiatan tidak bermoral ini termasuk golongan individu apabila peti surat di kediaman masing-masing dirosakkan atau pun dicuri.

peti surat rosakPenolong Naib Presiden, Kumpulan Komunikasi Perhubungan Media Pos Malaysia Bhd Engku Isyamuddin Tuan Losin berkata ketiadaan peti surat yang sempurna menyukarkan kerja pneghantaran dokumen oleh kakitangan Pos Malaysia.

“Pos Malaysia ingin mengajak orang ramai supaya bersama memupuk kesedaran tentang kesan negatif vandalisma.

“Sejumlah wang yang besar terpaksa dibelanjakan bagi membaiki kerosakan disebabkan oleh vandalisma sedangkan wang ini sepatutnya boleh disalurkan untuk kegunaan dan manfaat lain kepada orang ramai.

“Orang ramai boleh memainkan peranan penting di dalam membanteras vandalisma,” kata Engku Isyamuddin dalam satu kenyataannya kepada Selangor Kini.

Jelas beliau, antara peranan yang boleh dimainkan masyarakat adalah melaporkan aktiviti vandalisma kepada pihak berkuasa dengan segera jika ternampak atau mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

“Orang ramai juga dinasihati agar memastikan peti surat mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan segera dibaiki jika rosak,” kata beliau lagi.

 


Pengarang :