Selangorkini
SELANGOR

270 pelajar terpilih terima pinjaman pelajaran RM6.5 juta

SHAH ALAM 19 APR: Seramai 270 pelajar ditawarkan pinjaman pelajaran bagi sesi pertama 2015 dengan jumlah penajaan RM6.5 juta.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, permohonan bagi sesi kedua Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor dibuka Ogos ini.

HPIPT Cheque Handover (2)Katanya, insentif itu motivasi kepada pelajar untuk lebih cemerlang dan pengiktirafan atas usaha serta kejayaan diperoleh.

“Pelajar cemerlang di bawah skim ini berpeluang ditawarkan skim pinjaman boleh ubah jika berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang baik.

“Ini melayakkan mereka mendapat pengurangan ke atas bayaran balik atau pengecualian penuh bayaran balik (biasiswa),” katanya pada majlis penyerahan dokumen bagi penerima Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini.

Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor adalah bantuan pendidikan menerusi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS).

Bagi pengambilan sesi pertama 2015, permohonan dibuka selama sebulan mulai 1 Februari sehingga 28 Februari lalu dengan 1,185 permohonan diterima.

Katanya, antara insentif lain ditawarkan termasuk hadiah RM1,000 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara (HPIPT).

“Insentif itu dimanfaatkan 59,848 pelajar sejak pelaksaannya pada 2008 sehingga 2014 di bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya.

EZY


Pengarang :