Selangorkini
NASIONAL

Akta KWAP 2015 kurangkan kawal selia Bank Negara

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 APR: Rafizi Ramli (PKR-Pandan) menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya beberapa pindaan kepada Akta Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) 2015 dibuat bertujuan mengurangkan kawal selia Bank Negara.

Beliau berkata, draf pindaan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen menyebut wakil Bank Negara dari keanggotaan Panel Pelaburan yang menentukan pelaburan dana pencen boleh dipecat.

Katanya, mereka juga boleh digantikan dengan lebihan kuasa kepada Menteri Kewangan untuk melantik empat wakilnya berbanding tiga sebelum ini.

rafizi bank negaraRafizi berkata, beliau bimbang dengan pindaan itu yang jelas bertujuan mengurangkan kawal selia Bank Negara ke atas pelaburan KWAP.

“Pindaan ini bertujuan melindungi pelaburan yang dipersoalkan sebelum ini terutama pinjaman RM4 bilion kepada bekas anak syarikat 1MBD iaitu SRC International Berhad (SRC).

“Saya juga mengesyaki pindaan ini dibuat sebagai persediaan jika tindakan undang-undang diambil terhadap KWAP berhubung pinjamannya kepada SRC,” katanya di Loni Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, pindaan kali ini juga bertujuan membolehkan KWAP melabur lebih banyak dalam instrumen kewangan berisiko.

Dua terma pindaan lain pula menyebut meluaskan skop pelaburan yang boleh dijalankan KWAP termasuk pelaburan pembangunan infrastruktur, bangunan dan sumber asli serta kepentingan bersabit.

Selain itu, terma kerahsiaan yang mengikat pegawai KWAP daripada mendedahkan maklumat walaupun selepas tidak berkhidmat turut dimasukkan.

-NFN-


Pengarang :