Selangorkini
SELANGOR

Exco: Elaun guru KAFA naik tahun depan

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 APR: Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) akan dinaikkan kepada RM1,500 tahun depan selepas isu justifikasi tempoh perkhidmatan selesai.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Yunus Hairi berkata ia dijangka dilaksanakan tahun depan selepas dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau mengakui jumlah kenaikan itu tidak besar berikutan implikasi kewangan kurang RM18 juta setahun kerana melibatkan cuma lebih 6,000 guru.

“Kita boleh putuskan bila-bila masa. Untuk tahun ini, memang tidak ada tapi akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya kepada SelangorKini.

Ketika pentadbiran Umno BN, elaun guru KAFA di Selangor hanya RM250 sehingga RM700 tetapi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, ia dinaikkan kepada RM1,000 hingga RM1,300.

Beliau berkata, punca kelewatan kenaikan berkenaan ialah penilaian justifikasi tempoh perkhidmatan 8,117 guru yang berbeza-beza.

“Ada tiga bulan, lima tahun dan 15 tahun. Jadi kita perlu ambil kira tempoh itu bagi keadilan,” katanya.

Yunus juga tidak menafikan kenaikan itu sebahagian manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan berjanji menyelesaikannya secepat mungkin.

FZL


Pengarang :