Selangorkini
SELANGOR

Jangan main isu agama, tak salah rumah ibadat di premis perniagaan

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 APR:  Kewujudan rumah ibadat di premis perniagaan bukan asing dan dibenarkan Kerajaan Negeri, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam, V Ganabatirau.

Beliau berkata, namun kewujudannya perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat untuk rekod.

“Ia bukan suatu yang asing. Kewujudan rumah ibadat bukan sahaja gereja, bahkan kuil dan surau dibenarkan di dalam premis perniagaan. Ini  bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi negeri lain.

PC YB Ganabatirao (3)“Ia tidak seperti perniagaan yang perlu memohon lesen, sebaliknya hanya perlu memaklumkan kepada PBT terlibat berkenaan kewujudan itu.

“Rumah ibadat ini perlu didaftarkan di ROS. Untuk gereja, ia juga perlu didaftarkan dalam rangkaian gereja di bawah ‘Mother Church’,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pertikaian salib gereja yang berlaku di Taman Medan, pada 19 April lalu.

Dalam insiden itu, kira-kira 50 individu berkumpul di luar gereja baharu yang terletak di sebuah rumah kedai menuntut salib yang dipasang dibuang kerana dikatakan mengancam cabaran agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

20150418222642Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata, perkara itu tidak boleh dilihat dari sudut sentimen agama kerana Malaysia mengamalkan kebebasan beragama menurut Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Insiden ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan rakyat negara ini bebas mengamal dan mempraktikan agama mengikut fahaman masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan protes itu berunsur hasutan dan tindakan akan diambil terhadap penduduk terlibat.

“Kalau pemimpin politik seperti Exco Kanan Selangor, Nik Nazmi boleh di tahan lokap hanya kerana menyertai demontrasi aman.

“Mengapa sehingga hari ini masih belum ada sebarang tindakan ke atas peserta demontrasi yang ternyata menimbulkan provokasi dan ketegangan dalam kalangan agama,” kata Ganabatirau.

-NFN-


Pengarang :