SELANGOR

KAFA: Exco sedia kaji faedah perubatan, kebajikan selepas bersara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 28 APR: Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sedia mengkaji peningakatan kebajikan guru Kafa selepas mendengar beberapa cadangan.

Antara cadangan yang dikemukakan dalam sesi dialog yang diadakan di Astana Mewah, Kampung Paya Jaras, di sini, meminta Kerajaan Negeri menyediakan skim faedah untuk membiayai rawatan perubatan guru Kafa kerana ketika ini mereka terpaksa menanggung sendiri.

Dr Ahmad Yunus berkata, guru Kafa dikategorikan sebagai kakitangan sambilan yang menerima elaun bulanan dan bertugas selama empat jam sehari berbanding kakitangan awam.

“Mereka dikategorikan kakitangan sambilan. Ini tertakluk kepada kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bukan kuasa Kerajaan Negeri untuk menentukan kategori ini.

“Bagaimanapun, kita dah dengar cadangan mereka dan sedia perhalusinya sebelum dibincangkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain cadangan faedah perubatan, guru Kafa turut mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan skim faedah selepas persaraan.

Cadangan itu ekoran mereka akan terputus pendapatan bulanan apabila bersara, manakala simpanan Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) juga kecil kerana hanya menerima elaun RM1,300 sebulan.

Mereka turut meminta Kerajaan Negeri segera membaiki bangunan sekolah yang daif apabila masih menggunakan sistem pendawaian lama kerana membahayakan pelajar dan guru.

-NFN-


Pengarang :