Selangorkini
NASIONAL

Mahfuz: Sirul perlu cakap pada Tun M perkara sebenar

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 APR: Ibu Sirul Azhar Umar, Piah Samad mengharapkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu melakukan sesuatu supaya anaknya diberikan ‘nafas baru’ kehidupan bersama keluarga.

Luahan berkenaan antara intipati perbincangan tertutup yang berlangsung semalam selama 40 minit di pejabat Mahathir bertempat di Yayasan Perdana.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengakui membawa Piah dan bapa saudara Sirul Azhar Umar, Mustafa Samad bertemu Mahathir sekitar jam 3.40 petang semalam selepas penyebaran sekeping gambar pertemuan berkenaan di internet.

sirul Mahfuz1Mahfuz berkata, pertemuan dari hati ke hati itu terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan media bagi mengelakkan sebarang halangan.

“Tun (Mahathir) tidak menjanjikan atau menawarkan pertolongan, tetapi ibu Sirul merasakan Tun bercakap berkenaan isu ini dengan mengatakan tidak wajar Sirul mati di tali gantung dengan keadaan dia hanya menjalankan arahan.

“Tun menyarankan siasatan dijalankan, maka ibu Sirul merasakan ada satu harapan baru kerana anaknya pernah berkhidmat dengan Tun.

Dr.-Mahathir-Mohamed“Tun juga mengulangi semalam adalah tidak wajar Sirul di tali gantung apabila pengakuan yang dibuat, dia hanya menjalankan arahan, maka sewajarnya Tun mengatakan siasatan harus dilakukan semula,” katanya.

Mahfuz berkata, adalah lebih baik orang yang dituduh menceritakan sendiri perkara sebenar bagi mengelakkan sebarang percanggahan.

“Saya mengharapkan Tun sudi meluangkan masa sekali lagi untuk bertemu saya, ibu Sirul dan beliau dapat diadakan untuk membolehkan saya membuat panggilan dengan Sirul sendiri bagi membolehkannya bercakap sendiri dengan Tun serta menceritakan perkara sebenar,” katanya.

-NFN-


Pengarang :