Selangorkini
SELANGOR

Masyarakat Islam tak digalak bekerja di premis jual arak

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 APR: Kerajaan Negeri tidak menggalakkan masyarakat Islam bekerja dan terlibat secara langsung dipremis menjual arak, kata Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah.

Katanya, namun buat masa ini belum ada dasar khusus untuk larangan menyeluruh berhubung perkara itu.

“Bagi Kerajaan Negeri, penglibatan muslim tidak digalakkan. Bagaimanapun, buat masa ini belum ada dasar untuk itu dan sudah diambil maklum serta akan dikaji sebelum satu dasar khusus dilaksanakan kelak,” katanya.

DNS-2015-smallBeliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Perkara sama turut dibangkitkan Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) dengan saranan supaya Kerajaan Negeri mensyaratkan larangan ke atas muslim daripada bekerja di premis menjual arak sebagai syarat pengeluaran lesen oleh Pejabat Daerah.

Bagaimanapun, pandangan itu dipersoal Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) iaitu adakah saranan sama dilaksana di negeri lain bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Adakah di Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor atau Sarawak ditetapkan larangan seperti itu,” katanya.

Xavier menambah, sensitiviti masyarakat Islam dan bukan Islam perlu dihormati bagi memastikan segala isu berbangkit dapat diselesaikan secara harmoni.

-NFN-


Pengarang :