Selangorkini
SELANGOR

JP-ABAS bentang naik taraf bangunan Yayasan Selangor di DNS

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang sedang dalam proses dinaik taraf bagi mengelakkannya terbengkalai dan menanggung rugi.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat kerajaan negeri bagi Dewan Negeri Selangor (JP-ABAS), Saari Sungib berkata, perancangan itu akan dibentangkan dalam sidang DNS akan datang.

Katanya, berhubung peruntukan dan kerja menaiktaraf, ia terpulang pada kaedah sama ada ‘Build, Operate dan Transfer (BOT) atau sendiri.

yb saari“Jawatankuasa akan mendengar taklimat pengurusan Yayasan Selangor. Selepas mendapat maklumat lengkap, kita akan sediakan kertas cadangan untuk dibawa dalam sidang dewan.

“Kita juga kena lihat sama ada ia sesuai atau tidak untuk diubah suai atau sebaliknya,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Saari bersama ahli jawatankuasa lain turun padang melawat bangunan berkenaan dan beliau turut menafikan ia akan dijual.

“Tidak rasional jika dijual. Kita perlu lihat keuntungan jangkamasa panjang kerana kalau jual akan dapat untung sekali sahaja.

“Kita perlu fikir cara untuk membangunkannya semula supaya bangunan itu boleh memberikan keuntungan berterusan,” katanya.

Yayasan Selangor mengalami kerugian besar RM15.12 juta dalam tempoh tiga tahun ekoran menamatkan penyewaan dan mengosongkan bangunan itu, pada September 2012.

-NFN-


Pengarang :