Selangorkini
SELANGOR

Q&A: Mencari lautan biru pelaburan

Selangor antara negeri tumpuan pelabur asing dan tempatan. Bagaimanapun, iklim ekonomi tidak menentu menimbulkan kebimbangan ramai. Ikuti temu bual wartawan, HAFIZAN TAIB dengan Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Kim yang mengupas masalah dan perancangan Kerajaan Selangor.

Pelaburan di Selangor mencatat penurunan tahun lalu berbanding sebelumnya. Penjelasan?

Itu laporan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) untuk sektor perkilangan, tidak menunjukkan keadaan keseluruhan. Ini kerana pelaburan dari dalam dan luar negara merangkumi pelbagai aspek perkhidmatan, perkilangan, pembuatan dan lain-lain lagi.

Dari segi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Selangor, 56 peratus dari sektor perkhidmatan manakala sektor pembuatan atau perkilangan hanya 30 peratus. Jadi, ia tidak memberi gambaran keseluruhan pelaburan di Selangor.

pelaburan selangorKedua, tahun lalu menyaksikan pertukaran pucuk pimpinan negeri. Maka tiada usaha dibuat, kemudian ada pertukaran portfolio yang mungkin menyebabkan kerja tergendala seketika.

Itu antara faktor mengakibatkan jumlah pelaburan sektor pembuatan jatuh kepada kira-kira RM7 bilion tetapi ia tidak membimbangkan. Ia bukan penyumbang utama KDNK di Selangor.

Pelaburan tempatan tahun lalu mencatatkan RM3.8 bilion, penurunan hampir separuh berbanding 2013 sebanyak RM6.2 bilion. Bagaimana menjelaskan hal itu?

Kita tidak boleh lihat hanya dari segi nilai. Dari segi bilang-an projek diluluskan, Selangor menduduki tempat pertama. Bererti dasar pelaburan bagi perkilangan begitu luas de-ngan mendapat pelbagai jenis industri. Maka, Selangor masih mendahului negeri lain.

Kita kena tengok aspek lain juga. Malangnya, kekurangan data. Saya sudah arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumpul data pendaftaran perniagaan dengan jumlah pelaburan dari sektor pembuat-an dan perkhidmatan. Ia akan memberi gambaran lebih tepat berbanding angka MIDA.

Maksudnya Selangor pada kedudukan teratas?

Ya. Kalau dilihat dari segi KDNK negara, Selangor menyumbang kira-kira 24 peratus dari keseluruhannya. Secara purata, tiada negeri lain menyumbang lebih 10 peratus KDNK negara berbanding Selangor. Ia membawa makna besar. Kita menerima banyak pelaburan dari segi hasil dan kita mencatat angka paling tinggi.

Perancangan untuk meningkatkan jumlah pelaburan dari segi perkilangan dan pembuatan?

Selepas kajian, kita akan menerima dasar dan rangka kerja berbeza. Selama ini, kita bersaing dengan negeri lain untuk mendapatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) tetapi ada beberapa rintangan untuk Selangor.

Selangor menjadi tumpuan pelabur asing, jadi kos meningkat khususnya tanah, maka mereka melabur ke negeri lain. Kita sedar masalah ini dan sedang mencari penyelesaian.

Portfolio saya luas antaranya membuat pelaburan, perdagangan dan perindustrian termasuk juga Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Untuk menarik pelabur asing, kita perlu kembangkannya. Selama ini, kita seolah-olah bersaing dengan negeri lain dalam ‘lautan merah’  maka kita mesti cari ‘lautan biru’ tetapi isunya di mana ‘lautan biru’ itu?

Kajian menunjukkan potensi Selangor tidak digunakan sepenuhnya. Kita akan ada visi untuk menjadi pusat perdagangan antarabangsa dengan bermula sebagai pusat perdagangan serantau pada peringkat Asean. Di mana kelebihan Selangor? Selangor negeri termaju.

teng 1Kita ada 17 lebuh raya yang tiada di negeri lain. Kita juga ada pelabuhan terkemuka di rantau ini. Dari segi jumlah kontena, Singapura kedua di dunia dan Pelabuhan Klang ke-13.

Di Asean, kita kedua selepas Singapura. Kita ada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. Kita juga memiliki masyarakat majmuk dengan banyak kepelbagaian. Ini kelebihan dan kekuatan kita.

Kita akan gabungkan Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi mengadakan projek tahunan pada minggu pertama November ini iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor. Kita mahu ia jadi program tahunan yang menarik pelabur dan peniaga seluruh dunia ke Selangor.

Ia menjadi landasan untuk pekilang tempatan khususnya IKS bagi memasarkan barangan ke luar kerana sebelum ini tumpuan hanya untuk pasaran tempatan yang terhad kepada 30 juta orang.

Jika dipasarkan ke luar, Indonesia ada 250 juta penduduk, Thailand (60 juta), Vietnam (90 juta), Filipina (99 juta), India (1.2 bilion) dan China (1.3 bilion), peranan Selangor cukup besar sebagai pusat perdagangan dunia. Dari segi sejarah, Tanah Melayu pernah
menjadi pusat perdagangan dunia. Maka sudah sampai masa untuk menuju arah itu.

Satu lagi, seluruh dunia membicarakan e-perdagangan. Di Malaysia, belum ada model yang dapat menjamin pembangunan itu ke tahap lebih tinggi. Kita sedang merancang untuk membina sistem sesuai supaya ia bertapak dan berkembang di Selangor, se-terusnya ke seluruh negara.

Kerajaan Negeri sudah menubuhkan Majlis Informasi Teknologi dan E-Perdagangan Selangor (SITEC). Kita akan gabungkan tenaga pakar dari dewan perniagaan dan sektor logistik. Ia untuk menjayakan pembangunan e-perdagang-an. Ini akan menambah jumlah pelaburan asing.

Wujud perkembangan pesat di Selangor termasuk penawaran kerja bertambah tetapi ada dakwaan peluang pekerja tempatan terbatas berikutan kebanjiran warga asing. Pandangan?

Kebanyakan pekerja asing di negara ini tiada kemahiran tinggi. Di Selangor, kita menuju perubahan struktur dengan mengalu-alu perkilangan atau industri yang menggunakan tenaga mahir lebih tinggi. Untuk menghasilkan golongan itu, kita ada banyak pusat
pengajian. Lebih kurang 10,000 tenaga kerja mahir dihasilkan setiap tahun di Selangor.

Nilai mata wang negara tidak stabil dan merudum ketika ini, bagaimana peluang pelaburan di Selangor?

PelabuhanIa mendatangkan kesan positif untuk pelabur asing ke Selangor. Dengan kejatuhan nilai ringgit, pelabur cuma memerlukan kewangan lebih rendah.

Ia mengurangkan kos dalam banyak faktor. Kedua, ia akan menambah jumlah eks-port. Pelabur melihat ia sesuatu menguntungkan.
Produk getah contohnya, di Selangor ada kilang menghasilkan sarung tangan getah terbesar di dunia dengan hampir 60 peratus keluarannya dari negeri ini. Sudah ada tanda-tanda, dengan nilai mata wang lebih rendah, mereka akan menambahkan jumlah pengeluaran.

Dengan  segala perancangan, Selangor akan terus mencatat jumlah pelaburan tinggi?

Walaupun kedudukan ekonomi tidak menentu tetapi kita ada strategi yang dirancang lebih awal. Sebelumnya kita ada peruntukan RM1.6  juta untuk pembangunan pelaburan dan industri.

Untuk tahun ini, kita sudah rancang sejak tahun lalu dengan penyediaan peruntukan RM10  juta. Sebelum ini, tidak pernah ada peruntukan sebesar itu.


Pengarang :