NASIONAL

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dicabar jalani hidup biasa

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MEI: Datuk Seri Rohani Abdul Karim dicabar menjalani hidup sebagai wanita biasa dengan gaji minimum RM900 sebulan bagi menyelami kesusahan golongan kurang berkemampuan.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diharap menerima cabaran terbabit dan membuat keputusan berhubung relevan sesebuah keluarga mempunyai jumlah anak yang ramai selepas tempoh sebulan berakhir.

Zuraida 4“Keluarga perlu bersedia menerima tanggungjawab tambahan dari segi kewangan yang stabil sebelum mempertimbangkan mempunyai lebih ramai anak bagi mengelakkan masalah pada jangkamasa panjang.

“Ia satu fakta bahawa kadar kelahiran semakin berkurangan tetapi pada masa sama kualiti kehidupan juga harus dipertingkatkan.

“Daripada memberi nasihat ‘tidak perlu terlalu tumpu pada kualiti hidup’, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab memastikan tahap kualiti kehidupan di Malaysia harus menjadi lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, walaupun kadar kelahiran memerlukan perhatian namun isu pokok yang harus diperbetulkan adalah menghentikan rasuah supaya kewangan negara berada pada tahap yang sihat.

Datuk-Rohani-Abdul-Karim-565x376Katanya, negara mempunyai hasil mahsul yang kaya dan seharusnya mempunyai peruntukan cukup untuk semua rakyat bukannya kroni.

“Jika kerajaan benar-benar serius, maka 50 peratus daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu dimasukkan ke dalam akaun suri rumah.

“Kerajaan juga perlu melihat subsidi kelahiran baru dengan memberi peruntukan kepada ibu bapa seperti dilakukan Selangor melalui program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kerana banyak perbelanjaan yang ditanggung semasa kelahiran hingga proses pembesaran anak,” katanya.

Zuraida berkata, Wanita PKR pasti BN tidak akan mempertimbangkan cadangan itu kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetap akan dikenakan ke atas bayi mengikut kepada keperluan asas mereka seperti susu tepung walaupun ia adalah usul yang baik untuk rakyat.

“Malaysia perlu mencontohi negara Asia lain seperti Korea yang sudah jauh ke hadapan dengan jenama sendiri seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia yang mencipta nama di seluruh dunia.

“Apa yang berlaku pada Proton? Hampir 58 tahun kemerdekaan, kita masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan hak asasi manusia,” katanya.

-NFN-


Pengarang :