Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Mindef patut beri penjelasan hantar tentera ke Yaman

Oleh: Asrul Nizam Abd Jalil

Susulan keputusan Malaysia menghantar sejumlah tentera ke Yaman. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu tweet beliau menyatakan operasi kali ini adalah untuk operasi kemanusiaan dan evakuasi.

Namun begitu, menurut Agensi Berita Saudi menyatakan Malaysia adalah negara ke-12 yang menghantar tentera untuk menyertai operasi ketenteraan mereka selepas Senegal.

Malah, agensi tersebut juga menyatakan Pusat Operasi Gabungan ini akan menugaskan tentera Malaysia bersama-sama tentera Senegal.

Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM) tidak sepatutnya menyertai operasi ketenteraan ini.

Seperti kebiasaan, Malaysia hanya ikut serta sebagai tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sahaja. Langkah untuk menyertai pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi ini adalah lebih mirip kepada operasi ketenteraan bukan kemanusiaan.

Mindef perlu menyatakan jumlah bilangan tentera yang terlibat, aset-aset tentera yang turut dihantar ke sana dan juga perbelanjaan yang dikeluarkan bagi tujuan ini. Ini adalah amat penting bagi rakyat untuk menilai tujuan sebenar tentera kita dihantar ke sana.

Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm) juga mendesak Hishammuddin mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan penglibatan Malaysia sebagai pasukan ke-12 selepas Senegal dalam pakatan Arab Saudi.

Samm juga berpandangan, sekalipun kerajaan persekutuan berhadapan pelbagai tekanan kewangan dan kerugian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi untuk turut serta menumpahkan darah rakyat Yaman bukanlah caranya untuk mendapatkan dana dari Arab Saudi. Mindef perlu memberikan penjelasan yang tuntas dalam perkara ini.

Dunia Timur Tengah memerlukan agenda keamanan bukan satu lagi operasi ketenteraan yang meragut ribuan nyawa kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang awam lain yang tidak berdosa.

* Asrul Nizam Abd. Jalil adalah Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Pengarang :